Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membuat keputusan berhubung tindakan tegas terhadap isu doping pada mesyuaratnya di Lausanne, Switzerland pada Rabu.

Antara tindakan akan diambil adalah melanjutkan program ujian semula doping.

"Program ujian semula (doping) untuk Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012 akan dilanjutkan lagi. Bersama WADA (Agensi Anti-Doping Dunia), kita menyasarkan pemenang pingat daripada kedua-dua Olimpik itu untuk kemungkinan menjalani semula ujian," kata IOC dalam kenyataan.

Dilaporkan, lebih 50 kes baharu doping dikenal pasti setakat ini, hasil analisis sampel daripada Olimpik Beijing dan London.

Kenyataan itu menyebut usaha memerangi doping menjadi keutamaan IOC, yang mengamalkan dasar 'langsung tidak bertoleransi' terhadap isu berkenaan.

"Hari ini (1 Jun), kami mengambil tindakan seterusnya yang tegas bagi memastikan atlet yang bersaing pada Sukan Olimpik Rio 2016 benar-benar bersih.

"IOC tidak teragak-agak menghukum sesiapa sahaja yang didapati menggunakan atau menyediakan produk atau keadah doping termasuk pegawai, jurulatih dan anggota lain dalam delegasi atlet tersebut," kata kenyataan itu.

Lembaga Eksekutif IOC juga memberi sokongan penuh terhadap program ujian doping pra-Olimpik.

"Perbelanjaan bagi program ujian pra-Olimpik kini dua kali ganda. Program ini dilakukan hasil program menyeluruh yang telah dijalankan oleh Persekutuan Antarabangsa dan Organisasi Anti-Doping Kebangsaan.

"Fokus utama adalah terhadap negara-negara di mana program ujian ini tidak dilakukan seperti Kenya, Rusia dan Mexico. Tumpuan khusus juga akan dilakukan kepada sukan-sukan diisytiharkan WADA paling banyak dilanda (isu doping)," kata kenyataan tersebut.