Kemenangan dalam Kejohanan Menembak Terbuka Selangor membantu penembak negara, Nur Suryani Mohd Taibi, untuk mencari momentum merebut tempat dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April tahun depan.

Suryani sememangnya menjadi pilihan bagi acara 50m rifle tiga posisi yang berlangsung di Lapang Sasar Subang, pada Khamis.

Mewakili ATM, penembak berpengalaman itu mendahului saingan sejak awal meskipun cuba diberi tentangan oleh atlet Selangor, Shahera Rahim Raja.

Namun, Suryani kekal konsisten untuk menamatkan saingan selaku juara dengan 449.9 mata, mengatasi rakan sepasukan, Haslisa Hamed, dengan perbezaan 6.8 mata.

Penembak dari Perak, Nur Fatin Syairah, pula terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga.

"Ia (prestasi) memuaskan. Saya lama meninggalkan sukan ini. Ia boleh dipertingkatkan lagi, malah kalau diikutkan saya menyasarkan untuk melayakkan diri ke Sukan Komanwel.

"Jadi, sekarang ini saya lebih kepada menjalani latihan secara konsisten," katanya.

Sementara itu, saingan 10m air rifle menyaksikan persaingan di antara dua atlet kebangsaan, Mohamad Lutfi Othman dan Ezuan Nasir Khan.

Kedua-dua penembak itu menerajui saingan bagaimanapun, sedikit kelebihan memihak Mohamad Lutfi yang wakili Negeri Sembilan.

Habuannya, dia muncul juara dengan catatan 246.2 mata, dibezakan dengan tujuh mata berbanding Ezuan, sambil Nur Muhammad Izham dari Terengganu menduduki tempat ketiga.

"Matlamat saya adalah untuk mengekalkan kemahiran dan juga pengurusan masa saya.

"Dari awal saya berada di depan. Saya juga berhasrat untuk memperbaiki catatan terbaik, bagaimanapun tidak berjaya," kata Lutfi.