Penembak ATM, Mohd Ridhuan Mohamed, mengetepikan pesaing kuatnya, Hafiz Adzha, untuk memenangi acara 25m rapid fire pistol dalam Kejohanan Menembak Terbuka Selangor di Lapang Sasar Subang, hari ini.

Hafiz, yang mewakili PDRM, mengungguli saingan 25m standard pistol dan menjadi pilihan utama. Malah, bidikan tepat dalam pusingan awal menyaksikan dia selesa mendahului peserta lain.

Namun, Ridhuan yang juga bekas penembak kebangsaan, mempamer kebangkitan lewat untuk memberikan cabaran hebat kepada Hafiz.

Hasilnya, dalam pusingan ketujuh, dia berjaya mengatasi Hafiz menuju ke pusingan kelapan bagi penentuan kejuaraan.

Memerlukan lima mata penuh, Hafiz tidak dapat mengatasi kutipan 23 mata dicatat Ridhuan yang menamatkan saingan selaku juara.

Penembak Pahang, Muhammad Ridwan Awaluddin, meraih gangsa selepas memperoleh 16 mata.

"Hafiz memberi saingan yang hebat dan catatan saya dan dia tidak berapa jauh. Saya cuba kekalkan momentum sampai habis. Keputusannya, saya mendapat apa yang diharapkan," kata Ridhuan.