BINTANG Barcelona dan pemenang lima kali Ballon d'Or, Lionel Messi, berkata dia perlu meningkatkan kualiti sepakan penalti yang dilakukan.

Bergelar salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman, Messi meraih kerjaya gemilang bersama Barca apabila menjulang 33 trofi selain beberapa anugerah individu.

Namun, antara aspek yang perlu terus dipertingkatkan dalam gaya bola sepaknya adalah tendangan penalti.

Messi yang gagal menyempurnakan tugasan itu ketika mewakili Argentina bertemu Iceland dalam saingan Piala Dunia di Russia, memberitahu Catalunya Radio susulan kejayaan menewaskan Real Sociedad 2-1, semalam: "Saya mahu tampil lebih berkesan sewaktu melakukan sepakan penalti.

"Namun, ia tidak mudah. Melakukan sepakan penalti ketika sesi latihan berbeza dengan saingan permainan sebenar. Anda boleh memiliki idea di dalam kepala tetapi ia lebih sukar daripada apa yang dilihat.

"Penjaga gol juga perlu banyak berusaha mengenainya. Jika mereka melakukan tekaan dengan tepat, ia diselamatkan. Jelas sekali, saya mahu meningkatkan kualiti tendangan penalti saya."

Mengulas mengenai peranannya bersama Barca, dia menambah: "Normal apabila permainan berkembang apabila saya melakukan penampilan pertama pada usia 17 tahun.

"Saya bermain di pelbagai posisi dan corak. Bola sepak telah banyak berubah, sama seperti corak permainan saya dan pergerakan di atas padang.

"Saya gemar beraksi di kawasan yang saya paling suka. Pasukan beraksi secara ke bawah dan ramai pemain berlegar di tengah padang, jadi lebih mudah untuk mendapatkan bola dan masuk ke bahagian dalam. Bergerak ke bahagian sayap memerlukan lebih banyak masa dan pertahanan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

"Di bahagian tengah, sukar mendapatkan bola kerana kurang ruang dan banyak pemain."