ESPANYOL 0 BARCELONA 4

Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde, menghamburkan pujian terhadap Lionel Messi selepas ketua pasukannya itu mencipta rekod dalam aksi 'derby' Espanyol.

Messi meledak dua jaringan menerusi tendangan percuma yang julung kalinya berlaku dalam perlawanan LaLiga sementara dia turut memberikan bantuan gol sensasi untuk Ousmane Dembele dalam kemenangan 4-0 di Stadium RCDE.

Kemenangan itu membolehkan Barca mengukuhkan kedudukan di puncak LaLiga dengan kelebihan tiga mata, manakala Messi turut muncul pemain pertama dalam sejarah liga untuk mencetak sekurang-kurangnya 10 gol dalam 13 musim berturut-turut.

Majlis Ballon d'Or baru-baru ini menyaksikan nama Messi tercicir dalam senarai tiga calon terbaik buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun dan aksinya pada awal pagi tadi menjadi medan sempurna buatnya untuk menjawab kesangsian tersebut.

Sehubungan itu, Valverde gembira dengan prestasi Barca sambil Messi memberikan persembahan individu yang luar biasa ketika mendominasi aksi 'derby' itu.

"Leo tidak dapat dikekang dalam mana-mana perlawanna. Ia adalah satu perkara yang bagus untuk menikmatinya (persembahanya) kerana kita hidup dalam era yang tidak dapat diulangi lagi," kata Valverde dalam sidang akhbar.

"Sekiranya ada orang yang mampu menjaringkan hatrik dalam situasi bola mati, maka dialah orangnya tetapi itu bukanlah sesuatu yang bermain di fikirannya."

Valverde sempat menyifatkan Messi yang menamatkan pencalonan Ballon d'Or di tempat kelima sebagai "tidak masuk akal" dan dia sekali lagi menyatakan terkejut bahawa bintang Argentina berkenaan diletakkan di belakang pemenang, Luka Modric, Cristiano Ronaldo, Antoine Griezmann dan Kylian Mbappe.

"Saya tidak tahu, itu sesuatu yang dia perlu jawab," tambah Valverde. "Dia sudah meraih banyak pengiktirafan, namun ia sesuatu yang menarik perhatian kerana mereka memilih yang terbaik tetapi Messi tidak ada di sana."

Espanyol dinafikan gol saguhati oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) ekoran ofsaid oleh Oscar Duarte, begitupun penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen, tidak banyak dikerah dan situasi itu memberi kelegaan buat Valverde.

"Kami beraksi sangat baik terutama dalam babak pertama," kata Valverde. "Mereka cuba mengeksploitasi kepantasan pemain mereka dan kami mempunyai detik-detik untuk mendapatkan kemenangan, saya berasa senang hati kerana kami mengekalkan rekod bersih dan tidak kehilangan banyak bola.

"Espanyol mengharungi musim yang hebat, khususnya di laman sendiri. Memandangkan tidak banyak perbezaan dalam setiap perlawanan di dunia ini kerana tiga mata adalah sangat bernilai, oleh itu kami gembira kerana kami menang dengan cara yang selesa.

"Ada perlawanan yang menyaksikan pihak lawan mencipta lebih banyak peluang berbanding kami tetapi kami kurang dibolosi, itu menggembirakan kami."

Barca bakal menghadapi Tottenham dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) pada awal pagi Rabu nanti setelah meraih tempat teratas dalam Kumpulan B sementara keputusan di Camp Nou juga akan memberi kesan kepada peluang Inter untuk mara.

Kelab Liga Perdana tersebut harus menang -- atau merakamkan keputusan yang lebih baik berbanding Inter yang akan menghadapi PSV -- untuk menyusuli Barca ke pusingan kalah mati.

Valverde memberi isyarat bahawa dia belum memutuskan sama ada akan menggunakan kesempatan itu untuk merehatkan Messi dan bintang-bintangnya yang lain.

"Kami akan lihatnya pada Selasa nanti," tambah Valverde. "Kami menghormati persaingan itu dan kami mahu menang.

"Kami akan memilih barisan pemain berdasarkan keperluan Barcelona dan ​bukannya Inter. Kami memikirkan tentang kemenangan."