AC MILAN 4 HELLAS VERONA 1

AC Milan mengukuhkan peluang untuk merebut slot Liga Europa musim depan apabila membelasah Verona 4-1 dalam aksi Serie A di San Siro, awal pagi tadi.

Milan tidak mempunyai banyak pilihan selain menundukkan skuad bimbingan Fabio Pecchia itu atau menewaskan Juventus dalam aksi final Piala Itali untuk meraih slot Liga Europa.

Usaha itu dibuktikan apabila tuan rumah membuka tirai jaringan ketika aksi berusia 10 minit melalui Hakan Calhanoglu yang melepaskan rembatan ke penjuru gawang selepas Suso membuka ruang buat perancang skuad kebangsaan Turki itu.

Patrick Cutrone melebarkan kedudukan buat skuad bimbingan Gennaro Gattuso itu pada minit ke-32 apabila bijak memusingkan badan selepas menerima hantaran Giacomo Bonaventura untuk menyudahkan peluang dari jarak dekat menewaskan Marco Silvestri.

Selepas menamatkan babak pertama dengan kelebihan dua gol, skuad Rossoneri itu hanya memerlukan empat minit dalam separuh masa kedua untuk terus menggandakan jaringan.

Suso sekali lagi menjadi perancang utama buat Milan apabila kelincahannya membolehkan Ignacio Abate menyumbat gol ketiga, sekali gus menceriakan penyokong-penyokong di laman sendiri.

Penyerang berusia 20 tahun dari Korea Selatan, Seung-Woo Lee, cuba menghidupkan sisa kebangkitan pelawat menerusi sepakan voli yang melepasi jangkauan Gianluigi Donnarumma pada minit ke-85, namun kedudukan 3-1 hanya bertahan empat minit.

Hantaran lintang dari sebelah kiri oleh Bonaventura ditahan kemas oleh Fabio Borini sebelum pemain yang dipinjamkan dari Liverpool itu melepaskan sepakan voli yang meleret menewaskan Silvestri.

Kedudukan 4-1 sehingga ke wisel penamat sekali gus mencerahkan peluang buat Milan untuk ke saingan Liga Europa musim depan apabila naik tangga keenam liga sambil mengharapkan Sampdoria dan Atalanta gagal tampil cemerlang dalam baki perlawanan musim ini.