Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek yakin bekas anak didiknya Wong Choong Hann dapat menjalankan tugas sebagai Pengarah Kejurulatihan badminton dengan profesional.

Misbun yang pernah melatih Choong Hann pada tahun 2002 berkata kini situasi berbeza kerana beliau perlu berkerjasama dengan bekas pemain itu dalam memastikan modul latihan yang dijalankan dapat memberikan impak yang berkesan kepada prestasi pemain.

"Saya mengenali keperibadian Choong Hann kerana pernah melatihnya pada 2002. Saya tahu karisma, pendirian dan disiplin dia...saya harap beliau dapat berinteraksi dengan secara profesional dan jangan rasa ada jurang kerana saya pernah melatihnya.

"Memang buat masa sekarang saya ada satu bos (Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria) sahaja, tidak semestinya saya tidak boleh berkerjasama dengan pihak yang lain, itu perjanjian dari awal. Perkara penting adalah perlu ada input-input yang bernas dan berkesan untuk para pemain.

"Saya positif dengan pelantikan Choong Hann, pada saya pelantikan itu adalah keputusan daripada pucuk kepimpinan BAM. Saya tiada masalah (mengenai pelantikan itu) yang penting kerjasama untuk membentuk skuad negara ke peringkat yang lebih tinggi," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini.

Misbun berkata kolaborasi dengan Choong Hann terutama dalam aspek teknikal dapat membantu modul latihan yang diberikan kepada pemain menjadi lebih berkesan dan setanding dengan negara-negara yang sedang meningkat dalam sukan badminton.

Choong Hann dilantik sebagai Pengarah Kejurulatihan berkuat kuasa 1 Jan 2019 bagi persiapan skuad negara menghadapi Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Antara kejayaan Choong Hann semasa bergelar pemain adalah pingat perak Kejohanan Dunia 2003 di Birmingham, England; dua kali membantu skuad negara layak ke final Piala Thomas (1998 dan 2002) serta menjadi pemain nombor satu dunia pada Ogos 2002 dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

"Saya harap restu daripada dia dan pihak pengurusan. (Modul latihan yang sedang berjalan) itu adalah perancangan saya. Contohnya pada tahun ini, pemain baru masuk, kita dapat lihat peningkatan mereka setelah berbulan-bulan menjalani latihan, kita sudah nampak peningkatan seperti keyakinan mereka di gelanggang ketika kejohanan. Peningkatan prestasi mereka tidak mendadak tetapi ada progress menerusi latihan diberikan.

"Itu adalah persiapan daripada pihak saya, jadi harapan saya mendapat kolaborasi sebaik mungkin dengan semua pihak dan mendapat kelulusan serta sokongan daripada pihak atasan, perkara ini amat penting," jelasnya.

Misbun berkata beliau percaya pelantikan Choong Hann itu bukan sahaja dapat meningkatkan prestasi pemain tetapi membantu modul latihan yang diberikan lebih efisien dan efektif kepada pembangunan sukan badminton.

"Sekarang ini saya lihat dari sudut kejurulatihan sahaja, apabila ada pengarahkejurulatihan beliau (Choong Hann) perlu melihat bagaimana untuk meningkatkan modul latihan yang diberikan lebih efektif kepada prestasi atlet itu," katanya.