KETUA jurulatih skuad sepak takraw kebangsaan Abdul Talib Ahmad menyatakan beliau sudahpun mempunyai gambaran barisan pemain yang akan disenaraikan membawa cabaran di kejohanan ISTAF SuperSeries Bangkok 2016 setelah berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan mereka sewaktu sesi latihan.

Dengan tinggal hanya empat minggu sahaja lagi sebelum bermulanya pertandingan besar pertama bagi tahun 2016 itu, Abdul Talib telah mengerah pemainnya untuk menggandakan kerja keras mereka menerusi sesi latihan yang diadakan tiga kali sehari dan berpendapat kesemua pemain telah melakukan yang terbaik untuk menambat hatinya.

Abdul Talib dijangka memuktamadkan senarai pemain pada pertengahan Februari dan berharap mereka dapat membawa semangat untuk cuba mencipta kejutan di ISS Bangkok – kejohanan yang mahu dijadikannya sebagai batu loncatan untuk membentuk skuad mantap menghadapi Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

“Harapan saya, pemain gunakan kesempatan yang diberikan ini. Melihat kepada kesungguhan dan kerja keras mereka, saya tahu mereka mahu buktikan sesuatu.

"Saya tidak letak sasaran tinggi dan saya tidak mahu memberi tekanan kepada mereka, tetapi tidak mustahil kita boleh cipta kejayaan di Bangkok jika pemain bermain sepenuh hati dan mengikut apa yang telah kita rancang," ujarnya.

Abdul Talib turut berkata semua pemain kebangsaan termasuk pemain yang tersenarai ke Bangkok akan kembali ke pasukan negeri masing-masing bagi menghadapi saingan Piala Emas Khir Johari Edisi ke-52 yang dijadual berlangsung pada minggu terakhir Februari.

Untuk ISS Bangkok kali ini, Malaysia dijangka turun tanpa tonggak utama seperti Farhan Adam (apit kiri) yang direhatkan dan Hanafiah Dollah (apit kanan) yang melangsungkan perkahwinan, sekaligus memberi ruang kepada Abdul Talib mencuba gandingan berbeza.

“Saya ada beberapa pilihan, persefahaman dan keserasian antara setiap pemain semakin baik dari hari ke hari. Sama ada ianya regu pertama, kedua atau ketiga, masing-masing memahami cara permainan rakan sepasukan yang lain tetapi mereka tidak boleh cepat berpuas hati. Masih ada ruang yang perlu ditambah baik dan adalah penting mereka kekal fokus setiap masa,” jelasnya.

Ketika ini, terdapat hampir 40 pemain yang terlibat dengan kem latihan pusat skuad kebangsaan di mana selain pemain kebangsaan sedia ada, beberapa wajah baru yang menyerlah di SepakTakraw League juga telah dipanggil menjalani latihan.

Untuk rekod, Malaysia menamatkan saingan ISS 2015 dengan muncul naib juara pusingan akhir di Nakhon Pathom pada Oktober lalu, tewas kepada Thailand dalam perlawanan akhir manakala pencapaian terbaik pasukan negara adalah ketika muncul juara ISS Malaysia selepas menewaskan jagoan takraw dunia itu di Melaka pada Februari tahun lalu.