Atlet seni bela diri campuran (MMA) negara, Muhammad Aiman Raziz Affindi mencatat kemenangan keenamnya di pentas ONE Championship pada Jumaat, menumpaskan petarung Indonesia, Sunoto Peringkat.

Anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan berusia 24 tahun itu menewaskan lawannya menerusi keputusan sebulat suara selepas pusingan ketiga pada aksi ONE: Dawn Of Heroes di Manila, sebentar tadi.

Pusingan pertama menyaksikan kedua-dua petarung agak berhati-hati dalam melakukan serangan.

Bagaimanapun beberapa minit kemudian, Muhammad Aiman dijatuhkan oleh Sunoto yang ingin membuat kuncian ke atasnya.

Namun selang beberapa saat, Muhammad Aiman berjaya melepaskan diri dan bangkit semula untuk melancarkan tumbukan ke arah lawannya itu.

Pertarungan pusingan kedua dan ketiga banyak berlaku dalam keadaan 'stand up' (berdiri) meskipun terdapat percubaan dari Sunoto untuk membuat jatuhan.

Pada penghujung pusingan ketiga, Muhammad Aiman hampir menamatkan pertarungan menerusi kuncian 'guilotine choke' tetapi tidak berjaya.

Pertarungan dibawa ke keputusan juri di mana kemenangan diberikan kepada Muhammad Aiman.

Dengan keputusan ini, dia kini mempunyai rekod profesional dengan enam kemenangan, dan tiga kekalahan.

Muhammad Aiman kembali ke gelanggang MMA selepas hampir lapan bulan tidak bertanding.

Dikenali sebagai 'Jungle Cat', Muhammad Aiman merupakan bekas juara featherweight Malaysian Invasion (MIMMA) musim ke-3 sebelum menyertai ONE Championship sebagai petarung profesional.

Kali terakhir dia bertarung ialah pada acara ONE: Heart Of The Lion di Singapura pada November tahun lalu.

Dalam pertarungan itu, Muhammad Aiman tewas kepada petarung Jepun, Shuyo Kamikubo melalui keputusan sebulat suara (unanimous decision).