Berita  | Sukan

MMA: Gianni mahu bertarung dengan Demetrious Johnson

MMA: Gianni mahu bertarung dengan Demetrious Johnson
Gianni menyatakan hasrat ingin bertarung dengan bekas juara dunia UFC flyweight, Demetrious Johnson. - Foto Instagram/@giannisubba/@mightymouse125
KUALA LUMPUR: Jaguh seni mempertahankan diri campuran (MMA) negara, Gianni Subba menyatakan hasrat ingin memulakan 2019 dengan bertemu bekas juara dunia UFC flyweight, Demetrious 'Mighty Mouse' Johnson.

Petinju berusia 26 tahun itu mengakui dia tidak pernah gentar untuk berhadapan sebarang cabaran dan hanya ingin bertarung dengan petarung terbaik flyweight yang merupakan divisyen paling sengit dalam ONE Championship.

“Saya ingin mencabar diri sendiri dan berlawan dengan Demetrious Johnson.”

“Beliau (Demetrious) adalah antara atlet yang terbaik dan untuk menilai sejauh mana pencapaian yang teah dikecapi dalam kerjaya ini, kita perlu cabar diri sendiri dengan bertarung atlet paling berpengalaman dalam sukan ini,” katanya.

Johnson, 32 tahun, dianggap sebagai antara atlet terbaik dalam sukan MMA. Dia pernah mencipta rekod apabila berjaya mempertahankan Kejuaraan Dunia sebanyak 11 kali berturut-turut.
Jaguh dari Amerika Syarikat itu menyertai ONE Championship pada Oktober lalu, sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran yang pertama dalam sejarah sukan berkenaan.

Perjanjian itu menyaksikan Ben Askren dihantar ke UFC sebagai pertukaran dengan Johnson.

Menurut Gianni, keistimewaan Johnson adalah kebolehannya menggabungkan pelbagai teknik seni mempertahankan diri dalam permainannya.

BACA: MMA: 'Mighty Mouse' tidak sabar hendak beraksi di ONE Championship

“Cara beliau menggabungkan pelbagai kaedah dan gaya seni mempertahankan diri, menjadikan beliau seorang atlet yang menarik untuk ditonton.

“Peralihan yang dilakukan dalam setiap perlawanan membuatkan penonton tertanya-tanya bagaimana beliau melakukannya. Beliau sentiasa kekal dominan walaupun berdepan lawan yang mempunyai kemahiran berbeza dan itu cukup untuk kita mempelajari tentang dirinya,” katanya.

Gianni yang sedang berehat akibat penggantungan perubatan, yakin bahawa pertarungan ONE Flyweight Grand Prix Dunia, yang bakal berlangsung di ONE: A NEW ERA di Jepun pada 31 Mac ini akan menjadi pertarungan paling sengit meskipun perlawanan itu dikatakan bakal didominasi oleh Johnson.

“Johnson sangat bagus, namun, semua petarung mempunyai peluang yang sama.

“Apa-apa pun saya tetap kekal positif dan mendambakan peluang untuk kembali beraksi dalam masa terdekat. Saya bersyukur kerana mempunyai sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa berada di sisi.


“Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi ONE Championship, Chatri Sityodtong ada menghubungi saya beberapa minggu lalu dan memberitahu saya bahawa beliau sangat mengambil berat dan tidak memandang ringan situasi ini.

“Saya tidak pasti sama ada boleh kembali beraksi, namun, sekiranya boleh, saya berharap dapat berlawan dengan hanya yang terbaik.”