Pasukan Mobile Legends tempatan Saiyan Reborn dan Traitor layak ke Liga Profesional (MPL) Malaysia dan Singapura selepas kedua-duanya berjaya ke pusingan separuh akhir kelayakan pertama semalam.

Saiyan Reborn menempah slot ke liga tersebut dengan prestasi yang sangat cemerlang sejak peringkat awal saringan.

Mereka mengalahkan pasukan ICON, yang terdiri daripada pemain-pemain terkemuka tempatan, 2-0 sebelum menamatkan perjalanan perjuangan MG Justice dalam kelayakan itu pada perlawanan seterusnya.

BACA: Mobile Legends: Syno, Unta, ComeToPapa dan Error tubuh pasukan baharu ICON MY

Saiyan Reborn terus mengekalkan rekod tanpa kalah dan menewaskan Mysterious Assassins (MyA) 2-0 pada perlawanan suku akhir.


Pujian juga patut diberikan kepada pasukan Traitor yang diketuai bekas pemain Team Saiyan Muhammad Rifhan “Hangus” Mohd Riza.

Mereka membuka haluan kejayaan tersendiri ke MPL apabila menewaskan pasukan NoSurrenderElite, We Øwn Wørld, Saiyan Godz dan Mystic Burden U.

Sementara itu, laluan bagi tempat ketiga MPL musim lalu, MyA, untuk merebut kedudukan dalam MPL semakin sukar apabila mereka kini mempunyai satu sahaja lagi peluang dalam pusingan Wild Card nanti.

MyA bakal bersaing dengan tempat ketiga pusingan kelayakan peringkat Malaysia seterusnya yang akan berlangsung 29 Jun nanti.

BACA: MyA tidak mendapat jemputan terus ke MPL

MPL Malaysia dan Singapura kembali untuk musim kedua dengan menawarkan hadiah wang terkumpul kira-kira RM399,000.

Bertemakan ‘Kebangkitan Legenda’, ia membuka tirai dengan tiga pusingan kelayakan bermula 22 Jun lalu sehingga 8 Julai depan.

Setiap pusingan kelayakan akan disertai 512 pasukan dan hanya enam pasukan sahaja layak ke peringkat kumpulan.

Saiyan Reborn dan Traitor bakal sertai Bigetron E-sports (sebelum ini dikenali sebagai IDNS SG), Flash Tyrants, AirAsia Saiyan dan tempat ke-5 Mystic Burden, untuk bersaing di peringkat liga yang dijangka berlangsung pada 10 Ogos nanti.