Berita  | Sukan

Mobile Legends: "Saya akan teliti laporan penuh" - Syed Saddiq

Mobile Legends: "Saya akan teliti laporan penuh" - Syed Saddiq
SYED SADDIQ: Saya akan dapatkan laporan penuh berkenaan kes ini dan bincangkan tindakan susulan.
JAKARTA: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan meneliti dan mendapatkan laporan penuh berhubung tindakan protes pasukan Mobile Legends Malaysia, AirAsia Saiyan dalam kejohanan Piala Asia Tenggara (MSC) pagi tadi.

Dalam satu catatan tweet kepada Astro AWANI, Syed Saddiq berkata beliau kemudian akan melakukan perbincangan mengenai tindakan susulan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim, turut menyatakan mereka akan meneliti perkara ini dengan lebih mendalam sebelum melakukan apa-apa tindakan yang seterusnya.

"Kekalkan semangat membara, AirAsia Saiyan! Jangan berputus asa," kata Steven dalam catatan tweetnya itu kepada Astro AWANI. 



Pagi tadi, AirAsia Saiyan mengambil keputusan untuk menarik diri daripada kejohanan tersebut selepas kira-kira enam jam layak ke pusingan separuh akhir semalam.
Menerusi kenyataan pagi tadi, AirAsia Saiyan berkata tindakan menarik diri itu adalah sebagai langkah protes terhadap tindakan penganjur kejohanan tersebut iaitu RevivaLTV.

BACA: Mobile Legends : AirAsia Saiyan protes, tarik diri daripada MSC


Selepas mengambil keputusan untuk menarik diri daripada MSC, AirAsia Saiyan turut bertegas untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap RevivaLTV.

"Sebagai wakil Malaysia di MSC, kami bersependapat bahawa integriti pertandingan amat penting untuk pembangunan e-sukan di Asia Tenggara, dan ianya bukanlah sesuatu yang kami boleh bertolak ansur dua kali, dalam dua hari pertandingan MSC ini. 

"Kami juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak RevivalTV kerana kontrak kami ditandatangani di antara pihak AirAsia Saiyan dan RevivaLTV.

"Kami kecewa, tetapi kami percaya bahawa ini adalah keputusan yang betul demi pembangunan e-sukan di masa depan. Sekali lagi, kami ingin memohon maaf kepada penyokong-penyokong ASYN dan juga rakyat Malaysia kerana gagal mengibarkan bendera Malaysia pada hari ketiga MSC," kata AirAsia Saiyan.

AirAsia Saiyan turut mendakwa kesalahan yang dilakukan RevivaLTV tidak sepatutnya menjejaskan integriti kejohanan ini terutama apabila pengumuman pasukan itu layak ke separuh akhir telah diputuskan pada pukul 11 malam semalam.

BACA: AirAsia Saiyan layak ke separuh akhir 

Kejohanan MSC yang berlangsung sejak 27 Julai lalu disertai 10 pasukan terbaik Asia Tenggara dan menawarkan hadiah wang terkumpul melebihi RM400,000.

AirAsia Saiyan merupakan wakil tunggal daripada Malaysia dan terdiri daripada enam anak muda berbakat besar iaitu Ahmad Fuad 'Fredo' Razali, Andi Alfian 'Gripex' Firman, Herwin 'Rush' Baharuddin, Abdul Wandi, 'Logan' Abdul Kadir, Sofian 'Penjahat' Sultan dan Mohd Faris 'Soloz' Zakaria

MSC yang memasuki edisi kedua tahun ini, dilihat sebagai salah sebuah kejohanan terbesar e-sukan mudah alih di rantau ini.