Mohd Nafiizwan Adnan merangkul pingat gangsa selepas menewaskan Joel Makin 3-2 dalam acara perseorangan skuasy lelaki, Sukan Komanwel di Oxenford Studios, Gold Coast, sebentar tadi.

Pemain kelahiran Terengganu itu memulakan saingan dengan langkah kanan apabila mengungguli set pertama 11-7.

Bagaimanapun, lawan dari Wales itu bangkit untuk menundukkan Nafiizwan 11-6, 11-9 dalam dua set berikutnya.

Kegigihan Nafiizwan untuk menghadiahkan sekurang-kurangnya gangsa buat Malaysia akhirnya berhasil ketika Makin kelihatan tidak berdaya untuk kekal menyerlah.

Nafiizwan meraih kemenangan 11-4 untuk menyamakan kedudukan 2-2, sebelum memastikan gangsa miliknya dengan keputusan 11-5 dalam set penentuan.

"Mengenai aksi tadi, saya hanya berserah kepada Allah. Apa sahaja berlaku, menang atau kalah, saya akan cuba yang terbaik dan biar Tuhan yang menentukan. Ia menjadi rezeki saya pada hari ini.

"Saya tidak meletakkan tekanan dan sering memberitahu diri sendiri bahawa saya sudah melakukan yang terbaik, membuatkan saya lebih tenang," kata Nafiizwan.

Pemenang pingat emas akan ditentukan di antara James Willstrop dari England dan wakil New Zealand, Paul Coll, petang ini.

Dalam pada itu, Nafiizwan menyifatkan Mohd Azlan Iskandar sebagai idola dalam kerjayanya sebagai pemain.

"Azlan sudah menjadi seperti abang saya dan dia merupakan idola buat saya. Hari ini saya telah membuktikan bahawa jika percaya kepada diri sendiri, kita mampu melakukannya.

"Saya ingin berterima kasih kepada isteri, ibu serta barisan jurulatih yang sering memberikan sokongan.

"Kami sudah berusaha selama dua tahun untuk mendapatkan kejayaan ini. Tanpa mereka, tidak mungkin saya mampu mengutip gangsa untuk negara,"tambahnya.