Juara kebangsaan, Mohd Nafiizwan Adnan mara ke undian utama kejohanan skuasy Klasik Qatar selepas melepasi halangan terakhirnya di peringkat kelayakan di Doha, hari ini.

Mohd Nafiizwan hanya mengambil masa 27 minit untuk menewaskan Abdullah Al Mezayen dari Kuwait 11-5, 11-8, 11-5 di pusingan akhir kelayakan.

Kejayaan itu melegakannya kerana menamatkan badi kekalahan kepada Abdullah sejak Sukan Asia dan beliau berterima kasih kepada jurulatihnya, Peter Genever yang memberi nasihat yang baik sebelum berdepan pemain Kuwait itu.

"Dia (Abdullah) sering menjadi halangan utama saya...saya tidak pernah menewaskannya. Kami tidak pernah bertemu dalam kejohanan PSA (Jelajah Dunia) tetapi di Sukan Asia dan kejohanan lain.

"Apabila saya melihat undian semalam, saya memang sudah agak kecewa," kata Mohd Nafiizwan seperti dipetik dalam laman web rasmi kejohanan www.squashsite.co.uk/qatar.

"Saya sering berdepan kesukaran menyekatnya daripada mengawal permainan dan melakukan pukulan silang yang menjadi kekuatannya. Namun hari ini, saya berjaya mengatasinya," kata pemain yang berpangkalan di Manchester itu yang akan menentang Leo Au dari Hong Kong pada aksi pusingan pertama esok.

Seorang lagi pemain negara, Ivan Yuen, bagaimanapun, gagal mara ke undian utama selepas tewas 6-11, 5-11, 11-8, 7-11 kepada Mohamed Reda dari Mesir.

-- BERNAMA