BURNLEY 0 MANCHESTER UNITED 2

Jose Mourinho "benar-benar berbeza di sebalik tabir" dan akan membiarkan bintang Manchester United bercuti pada rehat antarabangsa selepas kemenangan mereka di Burnley, menurut Romelu Lukaku.

Penyerang Belgium tersebut menjaringkan kedua-dua gol ketika Red Devils memperoleh kemenangan 2-0 di Turf Moor untuk bangkit daripada kekalahan berturut-turut kepada Brighton & Hove Albion dan Tottenham.

United dilihat tiada masalah untuk merakamkan kemenangan setelah Lukaku meletakkan mereka di depan dengan dua gol pada babak pertama di sebalik kegagalan Paul Pogba menyempurnakan penalti dan kad merah terhadap Marcus Rashford menyebabkan mereka menjadi agak cemas pada penghujung perlawanan.

Mourinho diraikan para penyokong sendiri yang mengikuti kunjungan tersebut selepas wisel penamat ditiupkan sambil sebuah pesawat membawa sepanduk yang memprotes naib pengerusi eksekutif kelab, Ed Woodward.

Ia merupakan satu lagi persembahan peminat yang berdiri di belakang Mourinho pada permulaan musim ini susulan beliau sering bertelagah dengan media dan hubungan dengan dengan beberapa pemain utama.

Walaupun berperwatakan kasar pada kaca mata umum, Lukaku menegaskan Mourinho akan membenarkan pemainnya bercuti dalam tempoh dua minggu akan datang selepas memperagakan aksi yang menggalakkan.

"Kemenangan ini cukup bermakna. Dalam perlawanan terakhir, kami bermula dengan baik tetapi tidak mengambil peluang yang terhidang. Kali ini, ini yang kami lakukan," katanya kepada BBC Sport.

"Kami tahu kami terpaksa bertungkus lumus pada babak kedua, kami memiliki karakter dan kami perlu menjadi seperti itu.

"(Keputusan) perlawanan terakhir menentang Tottenham, kami begitu kecewa. Hari ini, kami berjaya menjaringkan gol dan kami harus menang dan cuba menghambat pasukan di atas kami.

"Sekarang, kami akan memasuki jadual antarabangsa dan boleh mengalihkan sedikit tumpuan. Pengurus mempunyai masa untuk menganalisis persembahan kami untuk perlawanan bulan ini."

Apabila ditanya sama ada Mourinho akan membenarkan mereka bercuti, Lukaku menjawab: "Ya, Dia betul-betul berbeza di belakang tabir dan dia akan membenarkan kami."