PENJAGA gol Sepanyol, David De Gea, akan sedar bahawa kesilapannya ketika bertemu Portugal adalah sesuatu yang teruk, menurut Jose Mourinho.

Kecuaian De Gea telah membolehkan percubaan jarak jauh Cristiano Ronaldo menghadirkan jaringan kedua buat Portugal, sekaligus membantu skuad kendalian Fernando Santos mengikat La Roja 3-3.

Aksi itu juga memperlihatkan kehebatan Ronaldo apabila mencatat hatrik menerusi dua gol dalam babak pertama dan gol ketiga pada minit-minit akhir permainan.

Mourinho yang merupakan pengurus kelab diwakili De Gea, Manchester United, berpendapat anak buahnya itu akan sedar tentang kesilapannya itu.

"De Gea adalah anak buah saya," kata Mourinho.

"Sukar untuk saya memperkatakannya tetapi ia benar-benar satu kesilapan yang teruk, kesilapan yang tidak dilakukan ketika bersama kami di United kerana dia dinamakan pemain terbaik tahunan.

"Bagaimanapun, ia berlaku dengan sebab tersendiri."

Sepanyol terpaksa berpuas hati dengan satu mata walaupun Diego Costa menyumbat dua gol serta Nacho Fernandez yang turut meletakkan nama dalam senarai penjaring, sekaligus memerlukan kemenangan diraih dalam baki aksi peringkat kumpulan menentang Iran dan Maghribi, selepas ini.