PUSINGAN kalah mati Liga Mobile Legends Professional League (MPL) yang menawarkan hadiah wang terkumpul lebih RM230,000 (AS$61,000) akhirnya membuka tirai selepas berlangsungnya saringan peringkat kumpulan selama tujuh minggu.

Bersaksikan pusat membeli-belah 1 Utama Petaling Jaya, lapan kumpulan memburu untuk membawa pulang piala kejohanan liga Mobile Legends yang paling besar di Malaysia dan Singapura.

Hari pertama MPL bermula dengan kadar sederhana namun tumpuan terus diberikan kepada pasukan nombor satu Malaysia yang beraksi pada perlawanan pertama menentang pasukan Singapura Louvre SG yang berada di kedudukan ke-8 dalam liga.

Ramai juga tertanya-tanya bagaimana rekaan jersi terbaharu Team Saiyan selepas menjadi milik majoriti AirAsia yang seterusnya dijenamakan semula sebagai AirAsia Saiyan.

Ia terjawab apabila mereka mula melangkah masuk ke atas pentas dengan penuh gaya dan terus menanggalkan jaket menayangkan jersi terbaharu mereka yang kemudiannya disambut sorakan daripada peminat.

Ramai juga tertanya-tanya bagaimana rekaan jersi terbaharu Team Saiyan selepas menjadi milik majoriti AirAsia yang seterusnya dijenamakan semula sebagai AirAsia Saiyan. - Foto Facebook / Mobile Legends

Pertarungan AirAsia Saiyan dan Lourve SG berlangsung dengan pantas dengan kedua-kedua perlawanan tamat kurang daripada 10 minit berikutan desakan dan corak permainan agresif yang diberikan AirAsia Saiyan.

Pada pusingan pertama hero support Angela yang digunakan Fredo (Ahmad Fuad Razali) memang wajar diberikan kredit selepas dilihat sebagai penyumbang besar kemenangan itu. Cubaan untuk mendapatkan First Blood oleh Fredo menjadi pada minit pertama 21 saat selepas menggunakan sumpahan flicker dengan skill pertama Love Waves untuk mengejar Skywee daripada Louvre SG yang menggunakan hero tank Hylos.

BACA: Mobile Legends: Tony Fernandes sah pemilik majoriti Team Saiyan

Sememangnya First Blood itu terus menyuntik semangat ahli pasukan lain untuk mengasak Lourve SG apabila AirAsia terus menumpahkan kubu dengan hanya 9 minit 35 saat dengan 19 kill (mata menewaskan musuh).

Selain itu, antara yang menarik mengenai perlawanan ini adalah apabila ia mencatatkan 20,400 tontonan serentak menerusi penstriman langsung Facebook pada minit keenam dan 51 saat.

AirAsia Saiyan terus beraksi cemerlang pada pusingan kedua dan meletakkan kumpulan mereka dalam kedudukan Upper Bracket.

Hari kedua pusingan penentu MPL akan berlangsung hari ini dan sudah tentunya beberapa pertarungan epik bakal disaksikan terutama pertembungan dua pasukan gergasi Malaysia AirAsia Saiyan dan MyA.

Namun hari ini juga bakal menyaksikan dua pasukan tersingkir daripada merebut kejuaraan MPL dan hadiah wang tunai melebihi RM110,000.

Pasukan manakah yang menjadi pilihan anda?

Pusingan Penentu MPL - Facebook / Mobile Legends