Muhammad Shah Firdaus Sharom berjaya membawa pulang pingat gangsa selepas memenanginya bagi acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Antarabangsa Dublin 2019 di Veledrom Sundrive, Dublin, Ireland.

Walaupun terpaksa menunggu seharian dalam keadaan hujan dan cuaca sejuk, beliau mengelakkan pasukan negara pulang dengan tangan kosong, selepas berjaya menaiki podium.

Pelumba berusia 23 tahun itu memberikan saingan sengit, sebelum berpuashati dengan pingat gangsa di belakang Jason Kenny (Britain) yang memenangi emas dan Juan Peralta Gascon (Sepanyol), perak.

Dua lagi pelumba negara Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Firdaus Mohd Zonis, masing-masing menduduki tempat kelapan dan ke-10.

Sementara itu, pelumba wanita negara, Anis Amira Rosidi menamatkan acara keirin wanita di tempat kelima.

-- BERNAMA