Kementerian Pendidikan menyasarkan pencapaian pingat emas pertama dalam Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) di Rusia tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika tercapai ia merupakan pencapaian terbaik selepas pencapaian UNIVERSIADE Shenzen dengan satu perak dan dua gangsa pada 2011.

''Dengan pelbagai persiapan yang dilakukan,pendedahan, kem kecemerlangan dan latihan pusat, sasaran ini tidak mustahil untuk dicapai.

''Kerjasama erat Majlis Sukan Negara (MSN),Institut Sukan Negara (ISN) dan persatuan sukan lain menjadi pendorong cita-cita itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontingen Negara ke UNIVERSIADE 2013, Kazen, Rusia di Parlimen di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

UNIVERSIADE merupakan salah satu agenda menyerlah prestasi atlet khususnya yang berada di institusi pengajian tinggi (IPT).

Kejohanan tahun ini merupakan kali ke-27 dan akan berlangsung bermula dari 6 sehingga 17 Julai depan.

Kejohanan dwi-tahunan itu melibatkan lebih 200 negara dan menawarkan 27 acara sukan keseluruhannya.

Kontinjen negara yang diketuai Professor Datuk Drm Kasim Md. Mansur melibatkan 121 atlet dalam 14 acara sukan selain 58 pegawai.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut meminta pengurus pasukan memastikan setiap atlet berada dalam keadaan fizikal dan mental terbaik menjelang kejohanan itu.

''Kita harus cemerlang dalam sukan-sukan yang telah diletakkan sebagai prospek untuk meraih emas pertama negara,'' katanya.

UNIVERSIADE merupakan salah satu sukan melibatkan atlet IPT selain Sukan Universiti ASEAN (AUG) dan World Universiti Championship (WUC).