Penubuhan MYSKATE ataupun Persekutuan Luncur Beroda Malaysia bukan untuk merebut kuasa menjadi badan induk sukan papan selaju.

Itu tegas Presiden MYSKATE Idroose Tambarin yang menyatakan penubuhan MYSKATE adalah lebih daripada sekadar untuk menghantar wakil ke Sukan Olimpik dan membawa kemajuan sukan papan selaju ke tahap tertinggi.

Malah, kesemua ahli persekutuan itu sudah mula membangunkan sukan itu sejak tahun 2010 lagi dan mereka merupakan pemain tegar dan bekas atlet luncur beroda seperti papan selaju dan in-line skating.

Menurut Idroose, MYSKATE bukan sekadar mendaftarkan persatuan tetapi bergiat aktif dalam pembangunan dan turut bersolidariti bersama komuniti sukan ini.

Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka cuba mengambil kesempatan untuk mengaut ‘keuntungan’ daripada dana pembangunan sukan itu untuk membangun dan menghantar atlet ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“MYSKATE bukan badan sukan baru tetapi nama baru bagi Persatuan Sukan Luncur Beroda Malaysia (MARS) yang ditubuhkan pada 2010.

"Kami sedang giat berusaha menjadi ahli gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), selepas permohonan kami masih belum diterima semenjak tiga tahun ini,” kata Idroose.

Beliau mengakui pihaknya paling layak untuk menjadi badan induk yang mentadbir sukan papan selaju di negara ini kerana sejak 2015 ia sudah diiktiraf persekutuan antarabangsa yang mentadbir sukan papan selaju iaitu FIRS yang kini dikenali sebagai World Skate.

Selari dengan perkembangan semasa dan amalan persekutuan antarabangsa, nama MARS ditukar kepada MYSKATE selepas ia dibenarkan memasukkan sukan papan selaju, sebagai salah satu syarat di bawah perlembagaan sukan itu tahun ini.

MARS diiktiraf dan menjadi ahli gabungan penuh World Skate sejak 2015, badan antarabangsa bagi papan selaju dan turut menjadi ahli kepada World Skate Asia yang dahulunya dikenali sebagai Konfederasi Luncur Beroda Asia (CARS).

“Kami akan terus memohon kerana kami merupakan ahli gabungan persekutuan antarabangsa yang merupakan badan induk bagi papan selaju yang juga ahli gabungan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

"Jika diterima di peringkat antarabangsa, agak mustahil jika kami tidak mampu menjadi badan induk kebangsaan," kata Idroose.

"Kami benar-benar berharap agar MOM dapat mempertimbangkan kembali perkara ini. Kami juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana kumpulan yang benar-benar mahu membangunkan sukan luncur beroda,” tegas Idroose.

MYSKATE juga mendapat sokongan dan persetujuan majoriti komuniti sukan papan selaju seperti Skateboarding Development Malaysia (SDM) dan Kelab Skateboard (KSB).

Ketua Pegawai Eksekutif SDM, Abdulazeez Wan Ruslan menyatakan ahli SDM turut membarisi keahlian MYSKATE di mana beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden MYSKATE selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) badan itu diadakan hujung minggu lepas.

Barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif MYSKATE penggal 2018-2020 selepas pemilihan diadakan pada AGM ke-8 Ahad lepas. - Foto: MYSKATE

SDM yang didaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sudah menganjurkan pelbagai kejohanan papan selaju peringkat akar umbi secara persendirian di seluruh negara sejak 2016.

KSB pula banyak mengadakan klinik-klinik papan selaju bagi kanak-kanak dan dewasa selain kejohanan mini skateboard di sekitar Lembah Klang.

MARS sebelum ditukar nama kepada MYSKATE, berjaya mengatur pelbagai program pembangunan atlet dan kursus akreditasi kejurulatihan bagi sukan di bawah perlembagaannya, selain menganjurkan festival sukan ekstrem antarabangsa, FISE di Langkawi pada 2014 dan 2015, yang melibatkan peserta BMX, in-line skating dan papan selaju dari Eropah dan Asia.

Pada 2011-2015, MARS menganjurkan Kejohanan Sukan Lasak Kebangsaan yang turut melibatkan papan selaju dan BMX.

Pada 2015, MARS mewujudkan sistem akreditasi jurulatih untuk sukan in-line dan juga papan selaju (NRSA) bertujuan melahirkan jurulatih sukan yang berkredibiliti.

Pada 2011 MARS menghantar atlet untuk mewakili negara dalam sukan speed skating di Sukan SEA Palembang 2011, di mana pasukan wanita membawa pulang gangsa dalam acara 3 x 3000 inline skating relay.

Berikut senarai nama ahli baharu bagi MYSKATE untuk penggal 2018-2020, selepas AGM diadakan pada Ahad, 29 April lepas.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif

1) Presiden: Idroose Tambarin

2) Timbalan Presiden: Abdulazeez Wan Ruslan

3) Naib Presiden 1: Zain Amri Ayeob

4) Naib Presiden 2: Steven Tan Chin Hwa

5) Setiausaha Agung: Iruan Jaafar

6) Bendahari: Imran Shah Jelani

7) AJK: Dino Azman Ramly

8) AJK: Lufti Che Kasim

9) AJK: Jack Cheng Boon Cheat

10) AJK: Siti Nur Atea Shafeeqa Razali 

11) CNTC Speed: Foo Toon Hong 

12) CNTC Freestyle: Max Lew Yun Choon

13) CNTC Inline Hockey: Craig Matthew Lee

14) CNTC Aggressive: Firdauz (Edosh) Azhar

15) CNTC Skateboard: Adlan Farazi (Boy Ipoh)

Pegawai


Pembantu Setiausaha Agung: Mustaqim Madzuki

Setiausaha Eksekutif: Izham Shaari

Pembantu Bendahari: Siti Nurakmar

Perjalanan: Sofianrizal Othman

Media: Mohd Firdaus

Kemudahan: Benjamin Shah

Kecergasan: Idzham Abd Rahman

Keselamatan: Azli Ramly