Pemain tengah negara, Nabil Fiqri Mohd Noor dipanggil semula menyertai skuad hoki kebangsaan bagi persediaan untuk Siri Jelajah Eropah.

Nabil Fiqri, 33 tahun, yang kali terakhir beraksi bersama pasukan kebangsaan pada Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India - dipanggil jurulatih Roelant Oltmans untuk memulakan sesi latihan sejak minggu lepas.

"Apabila saya dipanggil balik ke kem kebangsaan saya ambil ia sebagai satu tanggungjawab kepada negara di mana kita ada misi penting untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Ya, boleh dikatakan saya terkejut apabila dipanggil semula tetapi ini tanggungjawab untuk saya buktikan saya boleh beraksi dengan pasukan kebangsaan," katanya yang memiliki 298 kap bersama skuad kebangsaan.

Nabil Fiqri yang sudah memasuki hari kelima bersama kem kebangsaan mengakui beliau sudah mula rasa selesa dengan pasukan walaupun terdapat perubahan taktikal yang dilakukan Roelant.

Beliau berpendapat kehadirannya dalam pasukan kebangsaan memberi satu persaingan sihat untuk mereka bersungguh-sungguh merebut tempat ke Siri Jelajah Eropah.

Tiga puluh pelatih dipanggil oleh jurulatih untuk kem kebangsaan namun hanya 20 pemain akan disenarai pendek beraksi ke Siri Jelajah Eropah yang akan bertolak pada 21 Julai ini.

Sementara itu, Roelant berkata Nabil Fiqri dipanggil ke skuad kebangsaan selepas beberapa pemain seperti Muhammad Firhan Ashari, Muhammad Haziq Samsul dan terkini, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran mengalami kecederaan.

"Malangnya, ada beberapa pemain yang cedera, Haziq dan Firhan, juga Luqman pada masa ini tidak dapat bermain. Nabil Fiqri bukan sebahagian daripada pasukan Mac lepas, saya minta dia bersedia jika sebarang perkara luar jangkaan yang memerlukan beliau kembali menyertai pasukan. Beliau sedia untuk kembali. Jelas, beliau masih boleh membantu kami untuk layak ke Olimpik.

"Beliau perlu hadir di sini untuk latihan dan sekurang-kurangnya dalam satu perlawanan siri jelajah kerana beberapa pemain akan bermain sama ada di Eropah atau Jepun dan dari sana, kami akan membuat keputusan terakhir ke atas pemain yang berdaya saing untuk fasa terakhir persiapan kami untuk kelayakan Olimpik," katanya.

Mengenai keadaan penjaga gol negara S.Kuhan, Roelant berkata Kumar berada dalam keadaan baik dan gembira beliau kembali menjalani latihan.

"Jelajah Eropah bukan satu kejohanan rasmi, ia adalah untuk kami membangunkan pasukan negara untuk acara yang paling utama ... kelayakan ke Sukan Olimpik. Kami harus memastikan Kumar dalam dalam keadaan terbaik," katanya.

-- BERNAMA