Pemain skuasy lelaki utama negara Mohd Nafiizwan Adnan terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia kali ini setelah terlibat dalam kemalangan malam tadi.

Pemain pilihan kedua kejohanan itu terpaksa menarik diri pada saat akhir akibat cedera lutut kanan susulan insiden tersebut yang berlaku berhampiran rumahnya di Sri Petaling.

Menurutnya, beliau terbabit kemalangan dengan sebuah teksi semasa menunggang motosikal.

"Saya sudah pergi ke klinik untuk pemeriksaan. Tetapi esok saya akan ke ISN (Institut Sukan Negara) untuk pemeriksaan lanjut. Memang sangat kecewa tidak dapat beraksi tetapi perkara sudah jadi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Nafiizwan yang menduduki ranking ke-29 dunia itu sepatutnya menentang pemain negara Eain Yow Ng pada perlawanan pusingan pertama petang ini di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Tempat beliau diganti pemain 'wild card' Muhammad Addeen Idrakie.

-- BERNAMA