Kementerian Belia dan Sukan bercadang mengabadikan nama lagenda badminton negara Datuk Eddy Choong Ewe Beng pada gelanggang di Akademi Badminton di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat peringkat kementerian dan kabinet akan datang.

"Kita di peringkat terakhir untuk membina Akademi Badminton di Bukit Kiara. Mungkin di sana banyak tempat sama ada gelanggang, gelanggang utama yang boleh kita namakan di atas nama tokoh-tokoh badminton dan sudah tentu nama Datuk Eddy Choong tidak boleh ditinggalkan.

"Sebelum ini pun kita telah abadikan nama Datuk Nicol Ann David bagi pusat squash iaitu Arena Nicol David," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir di rumah mendiang di Jalan Bell di sini.

Beliau berkata pihaknya juga akan mendapatkan pandangan daripada semua pihak bagi menghargai jasa lagenda badminton negara itu.

Ahmad Shabery menyifatkan mendiang sebagai seorang penggerak semangat rakyat Malaysia kerana berjaya mengubah pemikiran bahawa sukan badminton merupakan sukan yang boleh diterokai dan dikuasai orang Asia.

"Beliau telah mengubah pemikiran dunia badminton yang selama ini mengganggap permainan ini dikuasai oleh orang Eropah kerana orang Eropah menganggap mereka mempunyai kelebihan dari segi ketinggian, saiz badan yang besar.

"Tetapi Eddy Choong yang dianggap kecil pada waktu itu dan tidak mungkin dapat mengalahkan orang yang berbadan besar telah berjaya mengalahkan mereka. Orang kecil, tetapi bersemangat besar mampu mengalahkan kuasa besar," katanya.

Eddy Choong, 83, meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan pendarahan di dalam perut di pusat pakar Loh Guan Lye di sini Isnin lepas.

Mayat mendiang dijadual dibakar di Krematorium Batu Gantung, Jumaat pada 2 petang.