Angel Di Maria menjelaskan Neymar akan diterima dengan tangan terbuka di Paris Saint-Germain (PSG) jika dia mengambil keputusan untuk meninggalkan Barcelona.

Terdapat khabar angin yang menyatakan bahawa PSG semakin hampir untuk melakukan rekod perpindahan termahal di dunia dengan membayar klausa EURO222 juta (RM1.1b) untuk mendapatkan khidmat Neymar.

Tetapi Barca yakin Neymar tidak akan meninggalkan The Catalans selepas ketua jurualtih PSG, Unai Emery, bercakap secara terbuka meminati pemain kebangsaan Brazil itu.

Dalam usaha untuk menjulang Liga Juara-Juara (UCL), bekas pemain Real Madrid, Di Maria berkata Neymar akan diterima dengan tangan terbuka di Parc de Princes.

"Segala-galanya terletak di tangan Emery dan pegawai-pegawai kelab. Neymar akan diterima dengan baik jika dia memilih untuk menyertai kami," kata Di Maria.

"PSG adalah kelab yang mencari kejuaraan, terutama sekali di pentas Eropah. Kami memiliki ramai pemain berpengaruh dan berkualiti untuk mencabar di pentas tertinggi."

Neymar telah menjaringkan 105 gol dalam 186 perlawanan buat Barcelona sejak menyertai kelab itu dari Santos pada 2013 dan pemain Brazil itu telah menandatangani kontrak selama lima tahun pada Oktober, tahun lalu.