Neymar yakin untuk terus bersama Barcelona, dan kesungguhan itu terpamer menerusi dua gol yang diledak bagi membantu pasukannya menewaskan Real Sociedad 4-0.

Selepas Lionel Messi dan Luis Suarez meledak dua gol pada saingan Liga Juara-Juara Eropah menentang AS Roma, kali ini giliran Neymar untuk menyinar pada kunjungan Real Sociedad di Camp Nou.

Pemain sensasi Brazil ini meledak gol pembukaan Barca pada minit ke-22 selepas menerima umpanan Dani Alves dan empat minit menuju rehat, Alves sekali lagi menjana gerakan untuk Suarez menambah jaringan kedua buat skuad The Catalan.

Bersambung babak kedua, masih tiada tanda-tanda Sociedad mampu mengejutkan tuan rumah. Peluang ini digunakan Neymar untuk meledak gol peribadi kedua pada minit ke-53, petanda dia lebih sesuai beraksi di Camp Nou berbanding di Old Trafford seperti yang digembar-gemburkan.

Jika benar, Neymar dikatakan akan bersama Barca sehingga 2021. Persaingan sihat trio Barca turut menyaksikan aksi berat sebelah ini kemudiannya dilengkapkan dengan jaringan Messi pada hujung aksi. Tamat perlawanan, Barcelona 4, Real Sociedad 0.

Lain-lain perlawanan yang berlangsung pada Ahad, menyaksikan jaringan Antoine Griezmann sekali lagi menjadi penyelamat Atletico Madrid untuk meraih 3 mata penuh daripada perlawanan menentang Espanyol (1-0).

Sementara pasukan ditangga keempat, Celta Vigo menundukkan Sporting Gijon 2-1.

Malaga dan Granada pula terika 2-2, manakala Deportivo menewaskan Las Palmas 2-0.