RATU skuasy negara, Datuk Nicol David, menyasarkan permulaan baik bagi menghadapi musim baharu Jelajah Dunia, Persatuan Skuasy Profesional (PSA) 2016/17.

Nicol berdepan tempoh yang cukup sukar musim lalu apabila kehilangan status pemain nombor satu dunia, selain terkandas dalam beberapa pertandingan yang disertai.

Dia kini berada di ranking keempat dunia selepas dipintas Nour El Sherbini, Laura Massaro serta Raneem El Weleily.

Namun, pemain berusia 32 tahun ini bertekad mempamer kebangkitan walaupun mengakui saingan yang diberikan pemain-pemain lain semakin mencabar.

"Matlamat saya adalah menilai prestasi saya, saya nak lihat bagaimana saya menghadapi setiap perlawanan, bermula pada minggu ini, dan fikirkan perlawanan lain yang akan datang.

"Matlamat saya untuk menetapkan tahap prestasi saya di kedudukan terbaik, kemudian akan pastikan ia kekal konsisten dan berada di landasan yang tepat," kata Nicol pada sidang media Kejohanan Jemputan Wanita 2016 anjuran Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), hari ini.

Menampilkan enam pemain, kejohanan yang julung kali diadakan itu menjadi medan terbaik sebagai pemanas badan untuk Nicol mengharungi musim baru saingan PSA.

Selain Nicol, Malaysia turut diwakili pemain nombor dua negara, Delia Arnold.

Menurut Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (B) S. Maniam, pertandingan itu merupakan salah satu persiapan terbaik buat Nicol dan Delia untuk membawa cabaran negara dalam Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia di Paris, November depan.

"Ia untuk memastikan tahap persembahan (baik) pemain kita dan memberikan Datuk Nicol dan Delia peluang untuk berlatih dengan lebih banyak perlawanan," katanya.