Ratu skuasy negara dan pemain nombor dua dunia, Datuk Nicol David membuka tirai gelaran juara bertahan di Kejohanan Skuasy Qatar Classic 2015 dengan permulaan sempurna pada kejohanan yang berlangsung di Kompleks Antarabangsa Tenis dan Skuasy Khalifa di Doha, Qatar.

Pada pusingan pembukaan lewat Ahad, pemain berusia 32 tahun itu hanya mengambil masa 32 minit untuk mengetepikan Nicolette Fernandes dari Guyana dengan 11-4, 11-4 dan 11-5, lapor laman web skuasy, www.squashsite.co.uk.

Nicol yang bersaing untuk gelaran juara kali keenam Qatar Classic selepas memenanginya lima kali -- 2007 (pada April dan Oktober), 2008, 2010 dan 2011, akan menentang pemain England, Victoria Lust dalam pusingan kedua pada Selasa.

Victoria gagal dalam set pertama pada perlawanan pembukaan menentang Tesni Evans dari Wales sebelum mendapatkan kembali kemenangan pada dua set berikutnya dengan 13-15, 11-7 dan 11-8 dalam masa 64 minit.

Sementara itu, satu-satunya pemain Malaysia dalam kategori lelaki, Mohd Nafiizwan Adnan tersingkir daripada kejohanan itu setelah kalah 7-11, 6-11 dan 9-11 terhadap Mazen Hesham dari Mesir pada pusingan pembukaan.

Mazen bagaimanapun, berhadapan dengan tugas sukar menentang rakan senegaranya, Omar Mosaad pada pusingan seterusnya lewat Selasa selepas pemain nombor enam dunia itu mengalahkan pemain Hong Kong, Leo Au dengan markah kemenangan 11-9, 11-3, 11-9 pada pertemuan pusingan pembukaan yang lain.

Untuk rekod, kategori wanita kejohanan itu tidak diadakan sejak 2012 hingga 2014 manakala kategori lelaki tidak dipertandingkan tahun lepas berikutan Kejohanan Skuasy Dunia 2014 berlangsung di negara yang sama.