Ketua jurulatih Kedah Mohd Nidzam Adzha Yusoff "direhatkan" daripada jawatan itu sehingga tamat saingan Liga Malaysia musim ini, kata Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Mohd Asmirul Anuar Aris.

Beliau berkata tugas tersebut akan dipangku sementara Penolong ketua jurulatih Kedah Azzmi Aziz sehingga tamat saingan Piala Malaysia.

Mohd Asmirul bagaimanapun berkata KFA akan memberikan tugasan lain kepada Mohd Nidzam sehingga kontrak beliau tamat.

"Keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat khas yang diadakan hari ini bagi membincangkan beberapa agenda khusus.

"Pihak pengurusan berterima kasih kepada Mohd Nidzam atas sumbangan khidmatnya dalam menerajui Kedah sehingga membolehkan pasukan itu menjuarai Piala FA dan naib johan Piala Malaysia musim 2017," katanya dalam kenyataan Jumaat malam.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat tersebut turut bersetuju melantik Pegawai Tadbir KFA Farid Ahmad untuk memangku jawatan Pengurus Pasukan Kedah sehingga tamat saingan musim ini.

Pelantikan itu berikutan kekosongan jawatan selepas Syed Khairul Anuar Syed Abidin meletak jawatan.

-- BERNAMA