Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mahu Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CT) BAM bertanggungjawab ke atas prestasi buruk kem badminton negara pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Beliau berkata barisan kepimpinan CT yang dipengerusikan Datuk Ng Chin Chai perlu bertindak mengkaji kelemahan barisan pemain negara serta mengambil langkah segera mengatasi perkara tersebut.

“Isu yang paling besar adalah konsistensi. Mereka tidak dapat mengekalkan konsistensi itu dan ia adalah sesuatu yang tidak begitu baik untuk pemain. Isu kedua adalah penyudah kita yang tumpul. Dari dulu lagi walaupun kita menguasai sesuatu permainan sejak awal tetapi akhirnya kita akan tewas.

“Kita (BAM) telah memberi peluang dan ruang kepada CT baharu dan mereka harus melakukan sesuatu yang drastik kerana mereka juga harus bertanggungjawab terhadap pencapaian yang kurang memberangsangkan ini,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas tamat aksi beregu lelaki di sini, pada Ahad.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Istora Senayan itu, kekalahan dua pasangan beregu lelaki negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pada peringkat suku akhir menamatkan cabaran Malaysia dalam kempen temasya sukan terbesar Asia itu.

Lebih mengecewakan, keputusan itu menyaksikan Malaysia gagal membawa pulang sebarang pingat, sekali gus tidak mencapai sasaran dua pingat tanpa mengira warna yang diletakkan.

Mengulas lanjut, Norza mengakui kegagalan barisan pemain negara pada edisi kali ini selain menyifatkan ketiadaan jaguh perseorang negara, Datuk Lee Chong Wei sedikit memberi kesan kepada keputusan negatif itu.

-- BERNAMA