Obor berbentuk Keris Taming Sari antara kelainan yang akan ditampilkan pada majlis perasmian Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 Perak di Stadium Perak di sini, Selasa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee Chuan How, berkata obor tersebut akan menyala selepas Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian temasya sukan itu.

Katanya, majlis pembukaan itu juga akan menampilkan persembahan tarian, perarakan kontinjen negeri yang bertanding serta larian obor.

"Kita juga akan menggunakan teknologi tinggi antaranya penyediaan skrin projektor paling besar di Perak yang diletakkan di tengah-tengah padang stadium antaranya untuk memaparkan persembahan tentang asal usul negeri Perak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis raptai penuh Sukma ke-19 di sini malam tadi.

Beliau berkata majlis penutupan Sukma ke-19 bertemakan 'Wow Kita Hebat #kibarkanpanjimu #rebahkanmusuhmu' itu dijangka disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 22 Sept ini.

Menurut Howard, beliau menjangkakan kira-kira 40,000 pengunjung akan menghadiri majlis perasmian tersebut serta karnival di luar stadium berkenaan.

Beliau berkata tiga skrin besar akan disediakan di luar stadium.

"Stadium Perak boleh menampung 25,000 orang, jadi dengan karnival di luar stadium, saya yakin tidak kurang daripada 40,000 orang yang akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Howard berkata raptai penuh malam ini yang dihadiri kira-kira 4,000 orang itu antara lain memaparkan aturgerak yang akan diadakan pada malam perasmian Selasa ini yang penuh meriah.

Sukma 2018 akan berlangsung dari 12 hingga 22 Sept ini dengan mempertandingkan sebanyak 427 pingat emas melibatkan 29 jenis sukan dan 39 venue di 12 daerah seluruh Perak.

Perak kali kedua menjadi tuan rumah Sukma yang mana kali terakhir diadakan 24 tahun lalu.

-- BERNAMA