Bahang kehangatan Sukan Asia Indonesia yang bakal berlangsung Ogos ini di Palembang makin terasa.

Obor temasya itu kini tiba di bumi Jogjakarta, dari Delhi, India dan diserahkan kepada bintang badminton Indonesia, Susi Susanti, dalam satu acara yang berlangsung di Kuil Ratu Boko.

Temasya sukan terbesar itu bakal membuka tirainya pada 18 Ogos ini.

Seramai 9,000 atlet dijangka mengambil bahagian, termasuk dari Malaysia.

Larian Obor Sukan Asia 2018 bermula pada Ahad lalu di New Delhi.

Ia akan mengharungi perjalanan sejauh 18,000km melintasi 58 bandar raya di 18 wilayah di seluruh Indonesia sebelum tiba di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta untuk upacara perasmian pada 18 Ogos.

Temasya kali ini yang akan berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 Sept di Jakarta dan Palembang akan menghimpunkan lebih 11,000 atlet dari 45 negara untuk mengambil bahagian dalam 40 sukan dengan 465 acara.