BEKAS pakar beregu Denmark, Thomas Lund, percaya barisan pemain negara mampu memberikan cabaran dalam perebutan pingat dalam Sukan Olimpik Rio.

Bagi Lund, Malaysia masih memiliki pemain berkualiti walaupun tumpuan lebih terarah kepada perseorangan utama, Datuk Lee Chong Wei.

Bekas juara dunia beregu lelaki itu berasakan, pemain lain seperti perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi, beregu wanita, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei, beregu lelaki, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, dan beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, mampu untuk melakarkan kejutan.

"Malaysia merupakan antara negara pilihan untuk meraih kejayaan di Olimpik menerusi sukan badminton. Sememangnya tumpuan adalah kepada Chong Wei selepas meraih dua pingat perak dalam dua edisi Sukan Olimpik sebelum ini," katanya.

Undian Olimpik yang berlangsung di Rio malam tadi menyaksikan Chong Wei tampak mendapat laluan mudah dalam peringkat kumpulan.

Wakil negara yang lain mendapat undian seimbang tetapi memerlukan mereka berada di tahap terbaik untuk meneruskan kemaraan.

Dalam pada itu, Lund mengakui Chong Wei kekal sebagai tarikan utama dalam acara badminton di Sukan Olimpik.

Walaupun menyedari ini mungkin Olimpik terakhir Chong Wei, Lund berharap ia bukan aksi terakhir pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

"Chong Wei akan dirindui jika memutuskan persaraannya selepas ini. Tetapi saya yakin dia masih memiliki kualiti yang bagus untuk bersaing di pentas tertinggi buat beberapa tahun lagi," katanya.