MESUT Ozil bakal mengakhiri kontrak bersama Arsenal sebelum melengkapkan perpindahan ke kelab bola sepak Turki, Fenerbahce.

Memetik laporan The Athletic pada Sabtu, bintang Jerman itu sudah mencapai kata putus bersama Arsenal untuk menamatkan kontrak lebih awal daripada tempoh asal, iaitu pada Jun.

Ozil, 32 tahun, tidak tampil bermain untuk Arsenal sejak Mac lalu dan dipinggirkan daripada skuad Liga Premier dan Liga Europa pada awal musim.

Sebelum ini, media tempatan Turki melaporkan bahawa Fenerbahce akan menandatangani Ozil selama tiga tahun setengah.

The Athletic pula melaporkan bintang berketurunan Turki itu bakal menyertai Fenerbahce dan dijangka menerima bayaran 7 juta pound (RM38.39 juta) sebagai persetujuan untuk menamatkan kontrak.

“Fenerbahce seperti Real Madrid di Sepanyol. Kelab paling besar di seluruh negara,” kata Ozil dalam sesi soal jawab bersama peminatnya di Twitter.

BACA: Perpindahan Ozil ke Turki 'belum ada yang pasti' - Arteta

BACA: Bola ditendang, Uighur tertekan, Ozil bersuara, Toure suruh diam sahaja

BACA: Ozil perlu keluar dari Arsenal - Keown, Simpson

Ozil, dilihat tersisih daripada skuad di bawah kendalian Unai Emery, dan kini Mikel Arteta, mendakwa keputusan itu dibuat hanya demi kerana kepentingan permainan bola sepak.

Namun, kata Arteta pada awal bulan ini, sekiranya satu perjanjian berjaya disepakati kedua-dua pihak, Ozil akan meninggalkan pasukan itu ketika jendela perpindahan Januari ini.