SEBAGAI seorang pemain Arsenal, Mesut Ozil sering menjadi sasaran penyokong Tottenham Hotspur tetapi dia menggunakan jenaka kabinet trofi untuk membalasnya.

Ketika sesi bergambar Spurs dalam aksi menentang Juventus yang berakhir dengan kemenangan buat anak buah Mauricio Pochettino itu 3-2, kesebelasan utama Tottenham dilihat meniru gaya pasukan kebangsaan Wales apabila meninggalkan satu ruang kosong.

Seorang peminat Spurs meletakkan gambar itu di laman sosial Twitter sambil bertanya mengapa Ozil berada di dalam gambar tersebut, menyamakan situasi yang sering dihadapi pemain dari Jerman itu.



Selepas beberapa hari menikmati reaksi positif daripada media sosial, peminat tersebut menerima tindak balas daripada Ozil.

Pemain tengah itu membalas dengan kenyataan yang pastinya mampu membuatkan kritikan terhadapnya daripada peminat Arsenal sendiri lenyap apabila berkata: "Jika anda lihat dengan teliti, anda boleh saksikan kabinet trofi anda."



Kali terakhir Spurs memenangi kejuaraan utama adalah pada 2008 sewaktu menjulang trofi Piala EFL dan sebelum itu, kejayaan terbesar mereka adalah memenangi Piala FA bagi musim 1990-91.

Tindakan Ozil itu menjadi tular dan menerima 130,000 'likes' dalam tempoh dua jam.