SKUAD bola sepak wanita Amerika Syarikat telah menggantung penjaga gol utama, Hope Solo, selama enam bulan susulan kenyataan kontroversi pemain itu ketika di pentas Olimpik Rio.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, Bola Sepak Amerika Syarikat menjelaskan bahawa penggantungan itu dibuat susulan komen kontroversi pemain itu selepas tewas kepada Sweden menerusi penentuan sepakan penalti di Rio.

Solo -- pemain veteran dengan 202 penampilan -- mendakwa Sweden bermain seperti sekumpulan pemain yang bacul selepas mempertaruhkan corak permainan bertahan sehingga memaksa perlawanan terheret ke penentuan sepakan penalti.

Pemain berusia 35 tahun itu turut pernah digantung selama 30 hari pada 2015 susulan kesalahan salah laku.

"Kenyataan pemain itu selepas aksi menentang Sweden tidak boleh diterima dan tidak mencapai piawaian yang telah kami tetapkan.

"Sukan Olimpik adalah medan untuk mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi, termasuk rasa hormat terhadap satu sama lain. Kami mahu semua atlet mewakili Amerika Syarikat menghormati prinsip itu.

"Selepas mengambil kira pelbagai faktor, antaranya salah lakunya tahun lalu, kami berasakan inilah hukuman yang paling sesuai," ujar Presiden Bola Sepak Amerika Syarikat, Sunil Gulati.

Susulan penggantungan itu, Solo hanya boleh kembali beraksi selepas Februari tahun hadapan.