Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) memohon supaya Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat menimbangkan rayuan berhubung arahan bermain tiga perlawanan tanpa penonton di gelanggang sendiri.

Presiden Pafa Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata persatuan itu berharap FAM sekurang-kurangnya menangguhkan hukuman untuk perlawanan pembukaan.

"Kami telah kemukakan rayuan tetapi hingga sekarang masih belum ada keputusan. Apa pun kami akan terus berdoa minta yang terbaik untuk pasukan.

"Kami ada tiga perlawanan penting berturut-turut iaitu bertemu Pahang pada perlawanan pembukaan (21 Jan) kemudian Melaka dan Johor Darul Takzim (JDT)," katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan skuad 'The Bos Gaurus' dan jersi 2017 di Stadium Perak di sini.

November lepas, FAM mengarahkan pasukan Perak bermain tiga perlawanan rasmi tanpa penonton di gelanggang sendiri ekoran penyokong The Bos Gaurus bertindak di luar kawalan semasa perlawanan Liga Super 2016 antara Perak dan JDT di Stadium Perak, 6 Ogos 2016.

Selain halangan bermain tanpa penyokong, Pafa turut dikenakan denda RM10,000 dan RM37,500 bagi dua pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, Pafa didapati bersalah kerana melanggar Artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan Tanggungjawab Bagi Kelakuan Penonton dan dibaca bersama dengan Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan Pelanggaran Berulang.

Pertuduhan kedua pula ialah melanggar Artikel 68 (e) Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan Penganjuran Perlawanan dan dibaca bersama dengan Artikel 69.2 berkenaan Kegagalan Mematuhi dan Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan Pelanggaran Berulang.

Sementara itu, ditanya mengenai #satukelainan yang menjadi tema skuad pimpinan Karl-Heinz Weigang, pengurus pasukan Perak Jamal Mohd Aris berkata ia mencerminkan kelainan skuad The Bos Gaurus pada saingan liga tahun ini.

"Kalau dulu pasukan Perak tidak mempunyai pemain simpanan, kalau cedera kami kurang pemain, namun kali ini setiap posisi akan ada dua orang. Kali ini juga kami gabungkan pemain senior, remaja dan berpengalaman untuk memantapkan lagi pasukan.

"Walaupun banyak muka baharu namun berdasarkan beberapa perlawanan persahabatan yang kami lalui, saya percaya pasukan Perak akan lebih berjaya tahun ini dan kami sasarkan berada dua teratas untuk saingan liga," katanya. - BERNAMA