Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menafikan sudah mula menjual tiket perlawanan final Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil 27 Julai depan.

Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Kehormat PAFA Tajul Hasnan Omar berkata, ia adalah maklumat palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Tidak ada sesiapa pun yang mempunyai tiket perlawanan akhir Piala FA 2019. Jika ada yang mendakwa sudah mempunyai tiket, maka orang itu cuba nak ambil kesempatan dan penyokong perlu berhati-hati.

"PAFA tidak bertanggungjawab sekiranya ada penyokong yang membeli tiket palsu. Kita nasihatkan mereka agar beli daripada saluran yang sah. Tiket perlawanan akhir hanya akan dijual pada 23 Julai. Mustahil jika ada pihak mendakwa sudah mempunyai 500 tiket ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan bahawa ada individu yang sudah mempunyai tiket, seperti yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Tambah Tajul Hasnan lagi, sebanyak 30,000 keping tiket diperuntukkan kepada Perak dengan 15,000 tiket akan dijual di Stadium Perak, Ipoh, manakala 12,000 tiket akan diagihkan di seluruh daerah dan baki 3,000 tiket akan dijual kepada penaja serta jabatan kerajaan yang berkaitan.

"Kita akan jual tiket pada 23 Julai ini bermula jam 10.30 pagi hingga 3.30 petang di kaunter tiket Stadium Perak.

"Bagi penyokong yang jauh pula, mereka boleh membelinya di Stadium Mini Parit Buntar, Pejabat Kemas Kampung Gajah dan kaunter pandu lalu Pejabat Majlis Perbandaran Teluk Intan yang turut diagihkan," katanya.

Selain itu, kata Tajul Hasnan, tiket turut boleh dibeli di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Tanjung Malim, PDT Lenggong, di Dewan Jubilee Perak, Kuala Kangsar dan Stadium Mini Manjung.

"Masa jualan tiket di daerah sama seperti di Stadium Perak. Lokasi ini telah dipersetujui oleh persatuan bola sepak daerah masing-masing,” ujarnya.

PAFA berharap kehadiran penyokong pada aksi final nanti mampu menyuntik lagi motivasi pemain untuk menjulang piala berprestij itu selepas kali terakhir pada 2004 ketika menewaskan Terengganu 3-0.