STATUS Pahang sebagai naib juara Liga Super 2015 dilucutkan selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memotong enam mata skuad itu dalam saingan liga domestik musim ini.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan FAM, Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, arahan itu dibuat melalui satu surat susulan kegagalan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) melunaskan bayaran pampasan kepada bekas pemain import mereka dari Maghribi iaitu Mohamed Borji yang pernah beraksi bersama skuad Tok Gajah pada 2013.

Pahang sebelum ini menduduki tangga kedua Liga Super 2015 menerusi kutipan 44 mata manakala Selangor di tangga ketiga dengan pungutan 39 mata.


"Dengan itu, Pahang kini jatuh ke tempat ketiga dan Selangor pula naik ke tempat kedua Liga Super 2015 di belakang Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Selangor akan menjadi wakil Malaysia ke saingan Piala AFC 2016 bersama-sama JDT. FAM akan memaklumkan perkara ini kepada pihak AFC untuk mencalonkan Selangor sebagai pasukan yang menggantikan tempat Pahang menerusi slot selaku naib juara Liga Super," kata Afandi.