Pahang merampas kembali kedudukan teratas Liga Super daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) walaupun sekadar seri 1-1 menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Skuad Tok Gajah berada di puncak liga menerusi kelebihan jaringan walaupun terikat 43 mata bersama JDT selepas 20 perlawanan setakat ini.

Pada aksi di Ipoh, Pahang membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah, Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-32 sebelum Bobby Gonzales menyamakan kedudukan untuk Perak pada minit ke-69.

Kejayaan Pahang naik kembali ke takhta Liga Super turut dibantu kekalahan 1-4 JDT kepada Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu.

Skuad The Red Warriors meraih jaringan menerusi Gilmar da Santos Filho seawal minit ke-4 dan ke-83, sepakan penalti ketua pasukan Mohd Badri Radzi pada minit ke-13 serta Mohd Nor Farhan Muhammad pada minit ke-51 manakala Mahali Jasuli menjaringkan gol saguhati JDT pada minit ke-50.

Selangor pula kekal di tangga ketiga walaupun seri 1-1 menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Mohd Afiq Azmi meletakkan pelawat di hadapan pada minit ke-59 sebelum pemain gantian, Muhammad Khairul Nizam Mohamad Amri menyamakan kedudukan tiga minit sebelum permainan tamat.

Felda United FC pula melonjak tiga anak tangga ke kedudukan keempat selepas menang tipis 1-0 ke atas Terengganu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang hasil jaringan tunggal Makeche Ndumba pada minit ke-59.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengikat Sarawak 1-1 untuk kembali menghidupkan peluang keluar daripada zon penyingkiran.

Pemain import dari Nigeria, Abdulafees Abdul Salam membuka tirai jaringan untuk ATM seawal minit kelima sebelum Sarawak menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian, Tommy Mawat pada minit ke-54.

Dalam pada itu, wakil kelab Lembah Klang, Sime Darby FC sah tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan setelah sekadar seri 1-1 menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Shah Alam.

Pemain import dari Mali, Dramane Traore meletakkan PDRM di hadapan pada minit ke-23 sebelum pelawat menyamakan kedudukan menerusi gol Mohd Nizad Ayub seminit sebelum wisel penamat.

Sime Darby FC kekal berada di tangga tercorot liga daripada 12 pasukan dengan kutipan tujuh mata ketika hanya berbaki dua perlawanan sebelum aksi Liga Super 2015 melabuhkan tirai.

Sementara itu, pasukan kelab SPA Putrajaya FC tersingkir ke saingan Liga FAM musim depan selepas seri 1-1 menentang wakil Pahang, Kuantan FA pada aksi tunggal Liga Perdana di Stadium UiTM, Shah Alam.

Berbaki dua perlawanan, pasukan berkenaan kekal di tangga tercorot daripada 12 pasukan dalam saingan Liga Perdana 2015 menerusi kutipan 11 mata.