Selepas pertarungan yang menghiburkan selama tiga pusingan, atlet seni bela diri campuran (MMA) Malaysia, Agilan Thani berjaya mengatasi lawannya Yoshihiro Akiyama pada pertarungan ONE: Legendary Quest yang berlangsung di Shanghai, China pada Sabtu.

Dikenali sebagai 'Alligator', Agilan tampil garang pada pusingan pertama.

Dia banyak melancarkan tumbukan yang diselang-selikan dengan percubaan menjatuhkan 'Sexyama'.

Namun Akiyama yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam sukan MMA tidak begitu mudah untuk dijatuhkan.

Dengan tenang dia beberapa kali berjaya menahan cubaan 'take down' dari Agilan.

Pusingan kedua bermula perlahan buat Agilan di mana dia nampak sedikit keletihan, mungkin disebabkan aksi lincahnya selama lima minit dalam pusingan pertama.

Kesempatan ini digunakan sebaiknya oleh Akiyama untuk melancarkan serangan demi serangan terhadap Agilan.

Pada penghujung pusingan kedua, Agilan nampak begitu terkesan dengan serangan Akiyama namun dia berjaya bertahan sehingga minit akhir pusingan tersebut.

Perbezaan umur 20 tahun antara Agilan, 23 tahun dan Akiyama 43 tahun, mungkin menjadi salah satu faktor Agilan berjaya mendominasi pusingan ketiga dari minit pertama hingga minit terakhir.

Akiyama yang telah berehat dari sebarang pertarungan professional MMA hampir 4 tahun sebelum bertemu Agilan, seakan-akan telah kehabisan tenaga.

Pertarungan 'stand up' pada pusingan terakhir ini digunakan sebaiknya oleh Agilan dan usahanya membuahkan hasil apabila banyak tumbukan yang dilepaskan berjaya menemui sasaran.

Agilan menamatkan pusingan ketiga dengan bergaya apabila berjaya menjatuhkan Akiyama ke lantai gelanggang dan melepaskan satu tumbukan sebelum pengadil mencelah menandakan tamatnya pertarungan.

Aksi Agilan yang mendominasi pusingan pertama dan ketiga sudah cukup untuk ketiga-tiga juri memberikan kemenangan kepadanya melalui keputusan sebulat suara.

Dengan kemenangan ini, Agilan berjaya keluar dari dua kekalahan berturut-turut yang dialaminya pada 2018.

Dia yang juga bekas pencabar utama kejuaraan welterweight di ONE Championship kini memegang rekod MMA dengan 10 kemenangan dan tiga kekalahan.