Ratu terjun negara, Pandelela Rinong yang masih menjalani proses pemulihan ke atas kecederaannya, akan hanya menyertai kejohanan mulai Mac tahun depan.

Beliau yang tidak menyertai Kejohanan Siri Grand Prix (GP) Terjun FINA yang sedang berlangsung di Pusat Akuatik Sarawak di Petra Jaya, di sini berkata beliau menyasarkan untuk kembali beraksi di siri GP yang akan dilangsungkan di Beijing, China pada Mac depan.

"Saya masih mengalami kesakitan di bahagian belakang...kesakitan ini sudah sekian lama saya alami tetapi disebabkan tidak mempunyai rehat yang cukup dan rawatan yang sempurna, ia masih berulang," katanya kepada pemberita di sini, pada JUmaat.

Pandelela berkata buat masa ini beliau hanya menjalani latihan ringan dan akan kembali melakukan persiapan intensif pada Januari depan.

Diminta mengulas penganjuran siri GP tersebut di sini, pemenang dua pingat perak Sukan Olimpik itu berkata ia memberi peluang kepada peminat sukan terjun melihat secara langsung pertandingan berkenaan.

Sementara itu, penerjun negara Loh Zhiayi yang memenangi pingat gangsa acara 10 meter platform wanita pada hari pertama kejohanan tersebut, berkata jadual padat kejohanan berkenaan menyebab penerjun mengadu keletihan.

"Bukan saya sahaja mengadu keletihan tetapi penerjun lain juga turut merungut disebabkan jadual acara yang terlalu ketat," katanya.

Menurut Zhiayi, contohnya acara 10m platform yang disertainya hari ini telah dilangsungkan pusingan awal dan separuh akhir pada sebelah pagi dan pusingan akhir pada sebelah petang.

"Selain tidak mendapat rehat yang secukupnya, jadual makan juga tidak sesuai dan kami terpaksa makan di gelanggang pertandingan," katanya.

Zhiayi bagaimanapun tetapi gembira kerana berjaya memenangi pingat gangsa acara itu dengan mengutip 285.55 mata di belakang dua penerjun China. - BERNAMA