Penerimaan sukan papan selaju sebagai salah satu acara Sukan Olimpik memberi kesan yang positif terhadap pembangunan sosial golongan muda di seluruh dunia.

Menurut Pengarah Papan Selaju World Skate, Josh Friedburg, kini semakin banyak negara mula melihat bagaimana sukan itu dapat merapatkan lagi hubungan pihak berkuasa dengan golongan muda.

“Perubahan paling besar kemasukan papan selaju ke Olimpik ialah lebih banyak negara kini menerimanya sebagai salah satu sukan dan bukan sekadar gaya hidup, selain mencari cara terbaik untuk menyokong dan melibatkan diri mereka dalam papan selaju,” kata Friedburg.

“Ia juga peluang terbaik untuk berkongsi kreativiti, budaya dan keseronokan daripada bermain papan selaju menuju ke Olimpik Tokyo 2020.”

Bagaimanapun Friedburg tidak menolak bahawa World Skate menghadapi banyak halangan untuk menyatukan semua penggiat papan selaju, terutama sekali politik dalaman melibatkan organisasi yang mahu menjadi badan tadbir sukan tersebut.

Freiburg ditemui selepas sidang media pusingan akhir kejohanan papan selaju Vans Park Series di Suzhou, China.

16 atlet papan selaju dari seluruh dunia (8 lelaki, 8 wanita) akan bersaing pada final Vans Park Series pada Sabtu.

Ia merupakan kejohanan 'park' papan selaju terbaik diadakan sejak 2016 yang dianjurkan syarikat pengeluar kasut Amerika Syarikat, Vans.

Sementara itu, World Skate, badan yang mengendali papan selaju di Olimpik akan menganjurkan kejohanan pertama sebagai kelayakan ke Olimpik Tokyo 2020 di Nanjing pada 28 Oktober hingga 3 November.

Ia merupakan salah satu siri kejohanan untuk persekutuan papan selaju di seluruh dunia untuk menghantar atlet terbaik dari negara-negara masing-masing, untuk mengutip mata ranking ke Tokyo 2020.

Hanya 80 atlet papan selaju (40 lelaki, 40 wanita) akan beraksi di Tokyo 2020, yang dibahagikan kepada dua disiplin iaitu ‘park’ dan ‘street’, dan mereka perlu layak menerusi mengutip mata ranking pada kejohanan yang diiktiraf World Skate.