PARIS dan Los Angeles (LA) menegaskan mereka hanya berminat untuk menganjurkan Sukan Olimpik pada 2024, dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengesyorkan pembida yang kalah mungkin akan diberikan hak untuk penganjuran pada 2028.

Datuk Bandar LA, Eric Garcetti, berkata pada awal minggu ini bahawa bandar itu hanya akan bersaing untuk Olimpik 2024, manakala IOC dilaporkan berhasrat untuk menamakan tuan rumah bagi kedua-dua temasya itu dalam sidang kemuncak di Peru, September depan.

Kedua-dua bandar itu menegaskan bahawa fokus tunggal mereka adalah pada 2024.

Pengerusi bersama Paris, Tony Estanguet, memberitahu BBC Sport: "2024 atau tidak bagi kami.

"Kami percaya kami memberi tawaran terbaik tapi ia hanya untuk 2024. Kami tidak akan menganjurkan Olimpik 2028 kerana kami tidak mempunyai projek pada 2028.

"Kami mempunyai jaminan, kami mendapat sokongan rakyat dan juga politik, kami memiliki 95 peratus venue yang sudah tersedia.

"Ini adalah tawaran keempat dari Paris dan 2024 adalah ulang tahun ke-100 temasya itu di Paris."

Satu kenyataan Olimpik 2024 LA yang dipetik oleh BBC berkata: "Dengan semua venue sudah pun terbina dan 88 peratus mendapat sokongan rakyat, hanya LA 2024 yang menawarkan risiko terendah dan penyelesaian yang benar-benar mampan untuk masa depan Olimpik pada 2024 dan seterusnya."

Tawaran cadangan daripada Hamburg, Rom dan Budapest telah diketepikan sebaik proses mencari tuan rumah yang dimulakan.