Projek Akademi Sepak Takraw Terengganu (PASTA) berharap kemudahan infrastruktur sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin di sini dinaik taraf bagi terus memperkasakan sukan itu di negeri ini.

Pengerusi Bersama PASTA, Dr Mohammad Omar berkata sebanyak RM300,000 diperlukan untuk membaik pulih infrastruktur sukan di sekolah itu terutama empat gelanggang latihan yang digunakan oleh pemain sekolah berkenaan.

"Ini sangat penting agar pemain di PASTA dapat memberi fokus jitu dalam setiap latihan mereka memandangkan selama ini mereka sedia berlatih walaupun dalam keadaan yang kurang sempurna.

Sudah lama kita 'baik hati' dengan meminjamkan pemain elit bawah 15 dan 18 tahun kita kepada majlis sukan negeri malah skuad kebangsaan.

Namun, ia agak menyedihkan apabila realitinya, pemain terpaksa berlatih di gelanggang yang uzur," katanya ketika ditemui pemberita di majlis sambutan Aidilfitri bersama pemain PASTA di sini.

PASTA yang ditubuhkan pada bulan Julai 1999 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu bertujuan melahirkan lebih ramai pemain sepak takraw yang unggul di persada dunia.

Ketika ini terdapat 36 pelajar menyertai PASTA yang mana latihan dibuat pada sebelah petang sahaja kerana tidak mahu mengganggu sesi pembelajaran pada waktu pagi.

Mohammad berkata, bukan saja empat gelanggang utama berkenaan perlu dibaiki dengan kadar segera, malah pihaknya juga berharap agar mereka diberi kemudahan gimnasium dalam waktu terdekat ini.

"Ketika ini, pemain terpaksa menggunakan gimnasium di pusat sukan majlis sukan negeri negeri namun ia tidak begitu praktikal kerana untuk berulang alik ke MSN, dikhuatiri akan mengganggu tumpuan mereka dalam pelajaran.

Lagipun, kewujudan gimnasium di akademi amat penting memandangkan pemain perlu berlatih untuk memastikan tahap kecergasaan mereka di tahap maksimum setiap masa," katanya yang berharap kemudahan untuk dua infrastruktur itu dapat disegerakan.