Tutup

Berita  | Sukan

Pasukan FootGolf pertama Malaysia bakal berentap di Piala Asia 2019

Pasukan FootGolf pertama Malaysia bakal berentap di Piala Asia 2019
Pengumuman pasukan Malaysia ke Piala Asia Yamaha 2019 diadakan di Plato Space USJ Heights, Subang Jaya pada Jumaat, 15 November . - Foto Enervive.
PERTAMA kali dalam sejarah, Malaysia akan menghantar wakil ke Piala Asia FootGolf Yamaha 2019, yang akan berlangsung pada 18 hingga 22 November di Horizons Golf Resort di New South Wales, Australia.


FootGolf Malaysia (FGM) dalam satu kenyataan media mensasarkan untuk berada dalam kedudukan tiga terbaik.

Kenyataan itu disuarakan ketua pasukan lelaki Malaysia, Jeffrey Dean Abdul Daud @ Cottam.

“Ini merupakan saat yang membanggakan bagi kami. Semasa kami bermula tidak lama dahulu, matlamat kami untuk menyertai Piala Dunia FootGolf.”
“Oleh itu, Piala Asia ini satu permulaan dan batu loncatan bagi kami untuk mencapai matlamat tersebut.” kata Jeffrey.

Penyertaan bersejarah FGM ke Piala Asia FootGolf 2019 turut dikuasakan oleh Rhino (Asia Tenggara) sebagai rakan rasmi.
Sebagai sebuah jenama antarabangsa, Rhino (Asia Tenggara) komited untuk membawa FGM selangkah ke peringkat terbaik dengan sokongan padu dari luar lapang hijau.

Sukan FootGolf yang semakin popular di negara ini, adalah kombinasi dua sukan berbeza, iaitu bola sepak dan golf.

Peraturan FootGolf adalah sama seperti golf. Objektifnya adalah untuk memastikan bola bersaiz 5 masuk ke dalam lubang (21 inci) dalam jumlah sepakan terendah.

FGM, berpangkalan di Pusat Golf Bukit Jelutong, Selangor merupakan badan pentadbir untuk sukan FootGolf di Malaysia dan juga merupakan ahli eksklusif Persekutuan Antarabangsa FootGolf (FIFG).

FGM berusaha untuk mempromosi dan membangunkan sukan tersebut di Malaysia dengan menggalakkan penyertaan di peringkat sosial, akar umbi dan juga kompetitif.

FootGolf merupakan sebuah sukan antarabangsa yang dikawal selia oleh FIFG.

Kejohanan serantau (Piala Asia) dan dunia (Piala Dunia) diadakan secara dwitahunan sejak 2012.

Piala Dunia FIFG 2020 yang mendatang bakal berlangsung di Jepun.


Tag: footgolf, fgm, fifg, piala asia footgolf, Horizons Golf Resort, Jeffrey Dean Abdul Daud



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.