Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) menyasarkan sekurang-kurangnya satu piala pada saingan Liga Super tahun ini.

Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan berkata selain itu, pasukan Liga Super Negeri Sembilan juga mensasarkan untuk menduduki lima pasukan teratas Liga Super.

"Sasar kita tidak tinggi sebab baru masuk ke saingan Liga Super setelah lima tahun berada di Liga Perdana. Liga Super yang kami masuk musim ini bukanlah lagi Liga Super yang pernah saya kenali kerana saingannya kali ini memang hebat.

"Kami tidak mahulah bercita-cita tinggi sangat, tetapi jika boleh kami nak menjulang satu piala, sama ada liga, Piala FA atau Piala Malaysia...itu indeks prestasi utama kami.

"Kalau boleh kami juga berada dalam lima pasukan teratas Liga Super," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pasukan Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia Negeri Sembilan musim 2018 di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berharap skuad Rusa dapat memberikan saingan yang baik kepada pasukan lain dalam kancah Liga Super musim baharu ini.

Mohamad berkata walaupun ramai yang menganggap Negeri Sembilan akan menjadi pasukan belasahan, tetapi beliau yakin dengan adanya pasukan Negeri Sembilan yang mantap kali ini di bawah ketua jurulatih baharu Jorg Peter Steinebrunner dari Jerman yang sebelum ini adalah Pengarah Teknikal PBNS.

"Dengan pasukan mantap yang kami ada dan pengurusan yang baik, saya yakin skuad Rusa akan dapat memberi saingan yang baik," katanya.

Sementara itu, katanya skuad Rusa musim ini akan diperkuatkan dengan lima pemain import dan pemain tempatan dari Felda United, Kelantan, Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Katanya lima pemain import itu ialah Nicolas Leandro Velez dari Argentina, Flavio Beck Junior (Brazil), Madhu M. Mohana (Singapura) dan bekas pemain kebangsaan Korea Selatan, Kim Doheon.

"Kami sedang menunggu seorang lagi pemain import dari Latvia. Beliau juga merupakan pemain kebangsaan negara itu. Antara pemain tempatan pula terdiri daripada Mohd Fauzan Dzulkifli (PKNS FC), Mohd Khairul Izuan Rosli dan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Kelantan FA), Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid (Selangor) serta Muhammad Fakrul Aiman Sidid, Mohd Aizulridzwan Razali dan Muhammad Syahid Zaidon (Felda United).

"PBNS telah selesai proses pengambilan pemainnya, baik pemain tempatan dan import. Gandingan pemain tempatan termasuk pemain kebangsaan bawah 23 tahun N. Thanabalan dan import yang mempunyai pelbagai latar belakang, saya nampak amat mantap dan yakin dapat memberi saingan terbaik pada Liga Super musim ini," katanya.

-- BERNAMA