BINTANG Barcelona, ​​Lionel Messi, mungkin pemain terbaik di dunia tetapi dia bukannya kebal, kata Pedro.

Pedro menghabiskan lapan musim bermain di samping Messi di Camp Nou tetapi kali ini dia bakal menyambut ketua pasukan Argentina itu sebagai seteru di Stamford Bridge dalam pertemuan pertama Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Tatkala pemain Sepanyol itu bercakap mengenai Messi, Pedro berharap rakan sepasukannya dapat mencari jalan untuk merantai pemain berusia 30 tahun itu yang masih buntu jaringan dalam lapan pertemuan dengan Chelsea.

"Messi adalah pemain terbaik di dunia tetapi dia tidak kebal," kata Pedro kepada akhbar UK.

"Sudah tentu, ia adalah Barcelona, ​​Leo Messi sangat sukar untuk disekat kerana dia sangat pantas, sangat licik tetapi bukanlah tidak boleh dikekang.

"Dia berada di tahap yang berbeza, tiada siapa yang dapat mengulangi apa yang dilakukannya, sebab itulah dia istimewa. Ia sesuatu yang akan saya ceritakan kepada anak-anak saya pada masa akan datang kerana dia mungkin akan dianggap yang terbaik di dalam sejarah."

Chelsea mengejutkan Barcelona dalam separuh akhir pada 2012 sebelum dinobatkan juara.

Pedro, yang beralih angin ke Stamford Bridge tiga tahun lalu, berkata dia masih terkenangkan perlawanan itu yang berpihak kepada wakil Liga Perdana itu 3-2 secara agregat.

"Saya masih ingat permainan itu dengan baik, Chelsea sentiasa menjadi lawan yang mengerikan, sangat sukar: padat, kental di bahagian pertahanan, sangat mantap," katanya.

"Atas sebab itu, Barca selalu menghadapi kesukaran menentang mereka.

"Bagi pemain Barcelona, ​​mereka akan fikir pertemuan ini akan menjadi sangat rumit, Chelsea mantap dan tidak memberi banyak ruang. Tidak mudah menentang kami."