Pegawai dan pemain Kuantan FA mendesak agar pihak pengurusan pasukan itu mengambil tindakan segera menyelesaikan isu tunggakan gaji sehingga 13 bulan yang telah berlarutan hampir tiga tahun.

Jurucakap kepada bekas pegawai dan pemain Kuantan FA Rizal Budiman mendakwa biarpun telah banyak kali masalah itu disuarakan kepada pihak pengurusan pasukan, namun tiada sebarang maklum balas dan tindakan susulan yang dilakukan sehingga kini.

"Masalah gaji ini mula timbul sejak 2016 yang ketika itu tertunggak sebanyak dua bulan namun kami pegawai dan pemain masih tidak membuat apa-apa tindakan kerana berpegang dengan janji pihak pengurusan untuk penyelesaian masalah itu.

"Namun sehingga tahun ini tunggakan gaji telah mencecah 12 bulan dan mereka masih menyepi sehingga kini," kata bekas pegawai pasukan Kelab The Seagulls itu pada sidang media khas yang diaturkan membabitkan kehadiran 17 bekas pegawai dan pemain pasukan itu di sini, malam tadi.

Bekas Penolong Jurulatih Penjaga Gol Kuantan FA, Mohd Rosfaizul Mohd Azuar Ali pula berkata masalah berkenaan turut dimaklumkan kepada pihak Persatuan Bola Sepak Kebangsaan (FAM) pada awal tahun lepas.

"Ketika itu, hanya enam pemain yang tampil membuat laporan manakala selebihnya masih menanti janji yang diberikan pihak pengurusan untuk melunaskan gaji kami," katanya.

Susulan itu, katanya pihak FAM telah meminta penyelesaian dibuat dan hanya gaji enam pemain berkenaan sahaja yang telah dilunaskan sepenuhnya.

Katanya seramai 15 pemain lagi hanya dibayar gaji selama dua bulan manakala selebihnya masih belum dijelaskan.

Sementara itu, katanya satu laporan polis juga telah dibuat berkenaan permasalahan itu di Balai Polis Sri Jaya, Maran petang semalam yang membabitkan seramai 26 senarai nama pegawai dan pemain.

Masalah tunggakan gaji berkenaan juga telah menyebabkan pengguguran penyertaan Kuantan FA dalam Liga Malaysia 2018 setelah gagal turun beraksi menentang PDRM dalam saingan Liga Perdana di Stadium Shah Alam pada 15 April lalu.

-- BERNAMA