Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) menyerahkan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) untuk menyiasat dakwaan penyalahgunaan kemudahan dan dana oleh Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata PPS mempunyai kepakaran untuk melakukan siasatan dari sudut perspektif pengurusan.

"Adalah lebih baik jika kita serahkan kepada PPS dan bukannya diputuskan menteri," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Akademi Kemahiran Belia Golf dan Universiti Malaya, Isnin.

Ahmad Shabery berkata MOM merupakan badan yang paling penting untuk pembangunan sukan negara dan ianya perlu dikendali dengan baik dari sudut intergriti mahupun dari segi pengurusan.

"Sebarang aduan berkaitan dengan aspek pengurusan sukan boleh dilaporkan terus kepada PPS," katanya ketika diminta mengulas laporan media sebelum ini bahawa Sieh dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperjelaskan aduan bahawa beliau menerima tajaan yang tidak mengikut peraturan untuk kontinjen negara ketika Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India.

Sieh juga didakwa memberi keterangan kepada SPRM berhubung laporan bahawa beliau membawa anak perempuannya ke Sukan Komanwel 2010.

Sementara itu, ketika dihubungi malam ini, Sieh menyangkal kesemua dakwaan tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu bentuk gangguan terhadap beliau.

"Kenapa saya diganggu dan saya sahaja menjadi sasaran oleh pihak tertentu yang saya sendiri tidak tahu siapa," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pemimpin veteran itu menafikan sekeras-kerasnya sebarang unsur salahguna kuasa atau dana seperti didakwa oleh pihak-pihak tertentu sejak memegang jawatan penting dalam badan induk pentadbiran sukan negara selama 21 tahun.

Bekas jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berusia 74 tahun itu berkata beliau memberi keterangan kepada SPRM pada lewat tahun lepas berhubung aduan mengenai tajaan pakaian trek untuk kontinjen negara ke Sukan Asia Guangzhou dan membawa anak perempuannya ke Sukan Komanwel di New Delhi.

Sieh (gambar) berkata beliau sudah memberi semua dokumen berkaitan termasuk akaun audit yang diluluskan dan resit resit pembelian tiket penerbangan untuk anaknya kepada SPRM.

Beliau berkata selepas memberi keterangan, pihak SPRM belum menghubunginya untuk sebarang tindakan susulan.

Katanya beliau dan pemimpin tertinggi MOM semenangnya diberi hak oleh tuan rumah penganjur temasya sukan untuk membawa isteri atau tetamu ke sesuatu temasya sukan.

Bagaimanapun, katanya, beliau menanggung segala perbelanjaan semasa membawa anak perempuan bersama ke temasya sukan kerana anaknya itu memerlukan pemerhatian khas.

"Kami termasuk Presiden MOM menjadi tetamu jawatankuasa penganjur untuk melawat sesuatu temasya sukan di luar negara atas perbelanjaan pihak penganjur.

Kami diberi hak untuk membawa isteri atau tetamu atas tanggungan pihak penganjur," katanya.

"Saya tidak mengambil sesen pun duit MOM atau sumbangan penaja untuk kontinjen negara. Saya tidak perlu berbuat demikian kerana saya bernilai lebih sejuta ringgit," tegasnya.

Sieh berkata semasa mengambil alih jawatan itu dari mendiang Tong Poh Yen pada 28 Nov 1992, MOM hanya mempunyai sebuah bangunan dan akaun bank sebanyak RM1 juta.

Bagaimanapun, katanya, badan itu kini mempunyai aset dua bangunan dan lebih RM20 juta dalam akaun badan itu.

Ditanya sama ada dakwaan yang dilemparkan oleh pihak tertentu sebagai usaha mencalar imej menjelang pemilihan MOM pada Jun ini, Sieh berkata beliau tidak tahu sekiranya ada komplot untuk menjatuhkannya.

"Saya bangga untuk berkhidmat sebagai sukarela dan MOM adalah kebanggaan saya," katanya.