Semua pasukan dalam kumpulan B mempunyai peluang yang sama untuk layak ke saingan separuh akhir Kejohanan Bola Sepak AFF Bawah 22 Tahun (B-22) yang membuka tirai di Stadium Nasional Phnom Penh, Kemboja, Isnin ini.

Pengendali skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, percaya semua pasukan akan menampilkan aksi terbaik masing-masing pada peringkat kumpulan untuk memburu dua slot separuh akhir dalam setiap kumpulan.

Malaysia disenaraikan dalam Kumpulan B bersama-sama tuan rumah, Kemboja, Indonesia dan Myanmar manakala juara bertahan, Thailand mengetuai Kumpulan A bersama-sama Vietnam, Timor-Leste dan Filipina.

Tiga pasukan - Singapura, Brunei dan Laos menarik diri daripada kejohanan itu.

Malaysia akan memulakan kempen dengan menentang Kemboja, Isnin ini.

Kim Swee, bagaimanapun, menyifatkan Myanmar, Indonesia dan Kemboja mempunyai kelebihan berdasarkan persediaan mereka yang lebih baik berbanding pasukan negara yang hanya menjalani latihan pusat selama lima hari.

"Saya berpendapat tidak ada pasukan pilihan dalam kumpulan ini tetapi kami mahu melangkah lebih jauh yang boleh dalam saingan ini. Apa yang penting, kami mahu turun dengan persembahan yang baik.

"Ini kerana persediaan kami lebih ke arah pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-23 bulan depan," katanya pada sidang media prakejohanan di Phnom Penh pada Sabtu.

Rakaman audio sidang media itu diperolehi Bernama.

Berkongsi sentimen sama, ketua jurulatih B-23 Myanmar, Velizar Popov menyifatkan kejohanan ini adalah amat kompetitif dan persediaan baik bagi menghadapi pusingan kelayakan AFC B-23.

Selepas pertemuan dengan Kemboja Isnin ini, Malaysia akan berdepan dengan Indonesia pada Rabu dan melengkapkan jadual perlawanan kumpulan dengan menentang Myanmar, Jumaat depan.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke separuh akhir pada 24 Feb dan final akan berlangsung pada 26 Feb ini.